NGO Bersih Turut Persoal Kenapa Kerajaan Bentang RUU Tergesa-gesa

KUALA LUMPUR, 29 OGOS 25 – Gabungan pertubuhan menuntut pilihan raya adil dan bersih (BERSIH) mempersoalkan tindakan kerajaan membentangkan beberapa rang undang-undang (RUU) yang menurutnya dalam keadaan “tergesa-gesa”.

Pengerusi Bersih, Faisal Abdul Aziz, berkata, tindakan itu dilakukan ketika Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) sedang dinaik taraf bagi tujuan reformasi.

“Namun, baru-baru ini terdapat beberapa RUU yang dibentangkan dalam keadaan tergesa-gesa di Parlimen, termasuklah RUU Pembaharuan Semula Bandar 2025 dan RUU Perolehan Kerajaan 2025.

“Persoalannya, mengapa RUU ini tidak melalui PSC yang berstatus tetap ini?” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Faisal berkata, melalui penaik tarafan itu anggota PSC diberi ruang lebih besar dan tugasan lebih signifikan dalam proses semak imbang, pemantauan dan pembuatan dasar yang lebih komprehensif.

Kerajaan berusaha mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen menerusi RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 dan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 pada awal Mac lalu.

Manakala dalam konteks RUU Perolehan Kerajaan, Faisal berkata ruang harus diberikan kepada PSC Kewangan dan Ekonomi yang berperanan menjadi badan pemantau dan semak imbang Kementerian Kewangan, Ekonomi, Pelaburan Perdagangan dan Industri dan Jabatan Perdana Menteri.

Manakala bagi RUU Pembaharuan Semula Bandar, Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi berperanan untuk memantau Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sepatutnya diberikan ruang, tegas Faisal.

“Melihat ke hadapan, kita akan melihat beberapa pembentangan RUU penting termasuk RUU Kebebasan Maklumat, RUU Ombudsman dan lain-lain.

“Proses perbahasan RUU mesti ditambah baik selaras dengan hasrat kerajaan untuk melaksanakan reformasi parlimen secara berkesan.

“Jika tidak, usaha reformasi institusi Parlimen akan hanya dilihat sebagai kosmetik tidak berasaskan kepada komitmen reformasi yang sebenar,” katanya lagi. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share