Isu Pengerusi: HDC Guna Tapisan Mana? Soal PAS

KUALA LUMPUR, 9 Sep 25 — Ahli Parlimen PAS Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan tapisan keutuhan digunakan Halal Development Corp (HDC) yang mengatakan Pemangku Pengerusi Datuk Azhari Shaari bebas kesalahan rasuah.

Fadhli menjelaskan, Laporan Tahunan SPRM 2023 sebaliknya menunjukkan Azhari, yang juga ketua Umno Shah Alam pernah dikenakan denda RM1,900 bagi kesalahan pemalsuan yang diakuinya, manakala RM220,000 disita oleh kerajaan.

“Kenapa HDC menyatakan bahawa SPRM menafikan individu ini ada rekod rasuah? Atau mungkinkah ia silap mata istilah di mana salah guna dana bukan satu bentuk rasuah?.

“Dengan maaf, saya melontarkan persoalan ini dan harap dapat dijawab oleh HDC ataupun pihak MITI,”katanya, dalam hantaran Facebook.

Fadhli juga mempersoalkan, dalam respons awal HDC menyatakan Azhari telah melalui tapisan SPRM yang pada Nov 2024 mengisytiharkannya bebas daripada sebarang rekod rasuah.

“Tapisan apa pula kalau masih lagi namanya terpampang di rekod rasmi berkenaan? Penapis apa digunakan ini?

“Jawatan pemangku pengerusi bukannya kecil, ia bakal mendedahkan kepada pengurusan kewangan aras tinggi,” katanya.

Katanya, individu lain dalam Umno wajar dilantik ke jawatan itu yang bebas rekod jenayah.

“Jikapun mahu dibuat lantikan politik, bukankah masih ramai lagi pemimpin Umno yang ada yang boleh dilantik ke jawatan ini?

“Atau sudah tiada yang bersih untuk dilantik?,” katanya lagi.

Azhari dilantik sebagai pemangku pengerusi HDC mulai 17 Jun tahun ini.

Sebelum ini, Halal Development Corp (HDC) menjelaskan bahawa pemangku pengerusinya, Azhari Shaari, telah melalui tapisan keutuhan oleh SPRM dan tidak mempunyai rekod bersalah berkaitan rasuah.

Penjelasan itu dibuat selepas keberadaan Azhari dalam lembaga pengarah HDC dibangkitkan oleh ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berhubung pengakuan bersalah Azhari dalam satu kes jenayah. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share