
KUALA LUMPUR, 10 Sep 25 – Pemuda PAS Selangor menggesa kerajaan memperincikan mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 kerana bimbang dasar itu bakal menekan golongan M40 dan miskin bandar.
Naib Ketuanya, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, setakat ini kerajaan tidak menjelaskan secara terperinci siapa yang layak menikmati subsidi tersebut, khususnya dalam kalangan M40 di kawasan bandar yang bergantung penuh pada kenderaan persendirian.
“Persoalannya, apakah jaminan bahawa golongan miskin bandar tidak akan dizalimi dengan pelaksanaan dasar ini?
“Jika berlaku kegagalan sistem digital seperti yang pernah menimpa program bantuan SARA, rakyat yang benar-benar memerlukan mungkin terpinggir,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan, kegagalan sistem pengesahan MyKad dalam pengagihan bantuan SARA sebelum ini sepatutnya menjadi pengajaran. Menurutnya, situasi lebih kritikal boleh berlaku sekiranya isu sama timbul ketika rakyat mahu membeli petrol harian.
Mohd Najhan turut membangkitkan kadar penggunaan pengangkutan awam negara yang masih rendah, sekitar 25 peratus, jauh di belakang Singapura (67%), Tokyo (73%) dan Seoul (63%).
“Dengan sasaran Dasar Pengangkutan Negara 2019–2030 hanyalah 40 peratus, ini bermakna majoriti rakyat, termasuk M40 bandar, masih tiada pilihan selain menggunakan kenderaan persendirian. Jika subsidi dihadkan atau ditarik tanpa mekanisme jelas, mereka akan menanggung beban berganda,” ujarnya.
Sehubungan itu, Pemuda PAS Selangor mendesak kerajaan mengkaji semula pelaksanaan subsidi bersasar RON95 agar benar-benar membantu rakyat, bukannya menambah tekanan kos sara hidup.
“Kerajaan perlu lebih kreatif, bertanggungjawab dan tidak terburu-buru. Rakyat bukan bahan eksperimen,” tegasnya.
Untuk rekod, program subsidi bersasar akan dimulakan hujung September, dengan menawarkan harga istimewa RM1.99 seliter kepada warganegara yang layak. Skema ini menyasarkan 85–90% rakyat Malaysia, sementara golongan berkemampuan dan bukan warganegara akan dikenakan harga pasaran penuh.
Pada Ogos lalu, Kementerian Kewangan telah mengeluarkan amaran mengenai penyebaran pautan palsu yang didakwa berkaitan dengan subsidi RON95. Orang ramai diingatkan agar tidak klik sebarang pautan tidak sahih dan hanya rujuk saluran rasmi kerajaan untuk maklumat tepat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.