
KUALA LUMPUR, 12 Sep 25 – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyatakan rasa kecewa dengan insiden ketegangan semasa operasi merobohkan rumah penduduk Kampung Sungai Baru semalam, yang menyaksikan bantahan penduduk serta orang ramai sehingga mencederakan beberapa individu termasuk Ketua Polis Daerah Dang Wangi.
Presiden Perkasa, Syed Hassan Syed Ali, menegaskan penduduk yang enggan berpindah atau menjual rumah masih mempunyai hak undang-undang untuk menuntut keadilan.
“Apa pun penduduk yang masih tidak mahu berpindah atau menjual ada hak dari segi undang-undang untuk menuntut keadilan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Syed Hassan berkata, Perkasa tidak menolak pembangunan semula di kawasan berkenaan demi keselesaan dan penampilan bandaraya, namun menuntut kerajaan memastikan identiti Kampung Sungai Baru yang kini 99.99% didiami orang Melayu dikekalkan.
Beliau menyatakan kebimbangan pembangunan semula yang tidak dikawal akan membuka ruang kepada kemasukan bukan Melayu dan warga asing, sekaligus mengubah komposisi masyarakat asal di kawasan berkenaan.
“Sebab itu orang ramai dari luar hadir menghalang kerja-kerja meroboh semalam kerana mengetahui pembangunan di kawasan Kg. Sg. Baru itu akan menyebabkan kemasukan ramai bukan Melayu menduduki kawasan tersebut selepas pembangunan siap nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Perkasa menyambut baik pelantikan Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Ketua Sekretariat Kerajaan untuk menyelesaikan isu tersebut, dengan alasan Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa pernah menerajui UDA Holdings Bhd dan berjaya memastikan projek Legasi Residensi Kampung Baru dijual sepenuhnya kepada pembeli Melayu.
Perkasa turut menggesa agar mana-mana kawasan pembangunan semula yang asalnya 70 hingga 100 peratus berpenduduk Melayu kekal dipelihara dengan komposisi sama. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.