Nabila Norsahar: Wajah Baharu PN Sabah Bawa Agenda Politik Bersih dan Telus

KOTA KINABALU, 11 NOV 25 — Peguam muda Nabila Norsahar, 30, muncul antara wajah baharu diketengahkan Perikatan Nasional (PN) Sabah menjelang pilihan raya negeri akan datang.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), beliau kini mengetuai Srikandi Muda Sabah dan aktif dalam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Dengan pengalaman dalam bidang guaman, Nabila dilihat mewakili generasi profesional muda Sabah yang mahu membawa wajah segar dan nilai integriti dalam politik negeri.

Ketika dihubungi selepas diumumkan sebagai calon, Nabila berkata, beliau percaya generasi baharu mempunyai tanggungjawab besar untuk mengubah budaya politik Sabah ke arah yang lebih bersih, telus dan berprinsip.

“Isu korupsi bukan sekadar soal salah guna kuasa, tetapi penyakit sistemik yang menjejaskan pembangunan negeri serta menghakis kepercayaan rakyat terhadap kerajaan,” katanya.

Beliau menegaskan komitmennya untuk membawa nafas baharu dalam tadbir urus negeri berasaskan integriti, ketelusan dan akauntabiliti jika diberi mandat oleh rakyat.

Antara keutamaannya ialah memperjuangkan pelaksanaan tadbir urus terbuka (open governance) melalui penubuhan Portal Ketelusan Sabah bagi membolehkan rakyat memantau projek, kontrak dan perbelanjaan negeri.

“Rakyat berhak tahu ke mana setiap sen wang negeri dibelanjakan,” ujarnya. Nabila turut mencadangkan pengukuhan peranan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC), serta mewajibkan semua jabatan negeri mendedahkan nilai kontrak, nama kontraktor dan status projek bagi menjamin ketelusan dalam proses perolehan awam.

Pada masa sama, beliau mahu menjadikan pendidikan nilai antirasuah sebagai asas perubahan budaya politik jangka panjang.

“Pencegahan rasuah mesti bermula daripada pendidikan nilai. Kita perlu tanam budaya akauntabiliti sejak di bangku sekolah lagi,” katanya.

Nabila turut menegaskan bahawa beliau akan menunjukkan teladan dengan mengisytiharkan aset secara berkala dan menolak sebarang bentuk sogokan demi memastikan keputusan dibuat atas dasar kepentingan rakyat semata-mata.

Ketika mengulas peranan generasi muda dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Nabila menegaskan partinya komited membawa politik berteraskan integriti, tanggungjawab dan keberanian menegakkan kebenaran.

“Kami menolak politik sogokan, kronisme dan permainan kuasa yang telah lama melemahkan sistem. Fokus kami ialah membina budaya politik yang mengutamakan rakyat, bukan individu atau kelompok tertentu,” katanya.

Menurutnya lagi, politik baharu yang dibawa Bersatu bukan sekadar slogan, tetapi tekad membina semula keyakinan rakyat terhadap kepimpinan yang jujur, progresif dan berkhidmat.

Calon muda ini diumumkan akan bertanding di kerusi N17 Darau. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share