
KUALA LUMPUR, 16 Sep 25 – Perikatan Nasional (PN) wajar menjadikan penutupan sekolah vernakular dan pengajaran mata pelajaran bahasa Cina, Tamil, dan Arab sebagai wajib diperingkat sekolah kebangsaan sebagai manifesto pilihan raya mereka.
Peguam kanan Haniff Khatri Abdulla berkata, cadangan Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man itu adalah baik untuk mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini.
“Seandainya PN yang diterajui PAS dapat masukkan dalam manifesto utama tanpa mengambil kira sama ada (langkah itu) akan menghindar undi, tetapi yang lebih penting adalah kebaikan negara, jujur beritahu rakyat kami akan tutup sekolah vernakular dan sebagai polisi, bahasa Cina, Tamil dan Arab akan diajar sebagai mata pelajaran mandatori (di sekolah kebangsaan).
“Itu perkara penting dan saya tak begitu faham kenapa cadangan baik seperti ini ada nak bantah cadangan PAS,” katanya, dalam kenyataan kepada politiko.my.
Haniff menegaskan, cadangan itu sudah dibawa pasukan peguam di mahkamah ketika perbicaraan berkaitan kedudukan sekolah vernakular menurut Perlembagaan.
Katanya, walaupun mahkamah menurutnya sudah memutuskan sekolah vernakular dijamin Perlembagaan, ianya masih boleh dipinda seperti mana yang berlaku kepada beberapa peruntukan lain seperti undi 18 dan Akta Anti Lompat Parti.
“Perlembagaan sudah pelihara kedudukan sekolah vernakular sejak 1957 tapi Perlembagaan masih boleh dipinda dari masa ke semasa.
“Kalau sekolah vernakular tidak memberi kesan negatif kepada perpaduan, maka orang yang menjunjung sekolah vernakular harus buktikan.
“Bolehkah mereka buktikan ada perpaduan melalui sekolah vernakular? nescaya tidak boleh. Kalau tiada kesan positif kepada perpaduan, maka sekolah vernakular harus dimansuhkan,” katanya.
“Justeru walaupun mahkamah katakan sekolah vernakular dipelihara bawah Perlembagaan mahkamah tak kata pemeliharaan itu tidak boleh dimansuhkan.”
Menurut Haniff, sekiranya cadangan itu boleh diterima, pihak eksekutif dan kerajaan boleh mengusulkan pindaan kepada Perlembagaan supaya apa yang dikatakan sebagai pemeliharaan kepada sekolah vernakular dimansuhkan dalam tempoh munasabah.
“Syor ini wajar dibawa pihak politik untuk di ketengahkan di Dewan Rakyat dan sebelum daripada itu adalah diminta supaya kementerian pendidikan adakan kertas kerja dan penyelidikan untuk pengajaran bahasa Cina, Tamil, dan Arab diadakan secara wajib di sekolah rendah kebangsaan,” tambahnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.