
KUALA LUMPUR, 17 Sep 25 – Ketua Bahagian Bersatu Tangga Batu, Ramlan Meon, menggesa agar Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, diganti sekiranya terus memainkan peranan yang dilihat mencetuskan perpecahan dalam parti dan Perikatan Nasional (PN).
Ramlan berkata beliau terkejut dengan kenyataan Tun Faisal yang membuat perbandingan dengan tokoh Qarun dan Firaun, yang menurutnya tidak mencerminkan pendirian rasmi parti.
“Itu adalah pandangan peribadi Tun Faisal dan tidak boleh dianggap sebagai mewakili parti, termasuk di Bahagian saya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Ramlan, peranan Ketua Penerangan sepatutnya menjadi pendamai, namun Tun Faisal dilihat lebih cenderung mencetuskan kontroversi dan perbalahan.
“Dia suka mencari perbalahan dengan parti komponen PN, dengan NGO, malah dengan ahli-ahli Bersatu sendiri. Semua Ketua Bahagian yang tidak bersetuju dengannya akan dilabelkan sebagai tidak faham, seolah-olah dia sahaja yang paling pandai dalam parti,” tegasnya.
Ramlan turut mempersoalkan sama ada tindakan Tun Faisal itu boleh dianggap sebagai cubaan melemahkan parti daripada dalam.
“Sekarang sudah ada persoalan adakah Tun Faisal ini trojan horse yang menerima arahan dari pihak tertentu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau merayu kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, agar mengambil tindakan segera demi menjaga keharmonian parti dan gabungan PN.
“Jika Tun Faisal terus memecahbelahkan Bersatu dan PN, lebih baik dia digantikan dengan orang lain yang lebih faham budaya serta sejarah Bersatu, dan lebih menghormati institusi Ketua-Ketua Bahagian,” kata Ramlan.
Beliau menegaskan bahawa dengan pilihan raya semakin hampir, Bersatu perlu memperkukuh hubungan dengan rakan komponen PN serta sesama ahli, dan bukan membenarkan perpecahan berterusan.
“Kita perlu ramai kawan dan jaga hubungan sesama ahli serta parti komponen. Kita tak perlu pemecah belah seperti Tun Faisal,” tambahnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.