MN Seru Kesatuan Politik Peribumi Demi Kestabilan Negara

KUALA LUMPUR, 21 NOV 25 – Muafakat Nasional (MN) menyeru semua kepimpinan politik berteraskan peribumi agar kembali menggembleng usaha membina muafakat sesama mereka demi memastikan kelompok tersebut kekal dominan dalam menerajui negara secara adil dan berpaksikan Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Presiden MN, Tan Sri Noh Omar berkata, perpaduan dalam kalangan peribumi merupakan syarat penting bagi menjamin masa depan kepimpinan negara yang lebih stabil dan berteraskan semangat kebangsaan.

“Peribumi sebagai teras negara perlu memimpin dan ini mesti bermula melalui kesatuan serta perpaduan merentasi perbezaan politik,” katanya menerusi kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi MN, malam tadi.

Menurut beliau, MN memandang serius isu perpecahan dalam kalangan masyarakat peribumi serta umat Islam khususnya dalam konteks politik yang kini dilihat semakin ketara.

Justeru, mesyuarat berkenaan memutuskan agar MN memperhebatkan peranan menyatukan semua parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGI) bagi membentuk satu gabungan yang lebih kukuh serta stabil.

Noh menegaskan bahawa muafakat peribumi yang diusahakan perlu selari dengan realiti masyarakat majmuk negara ini dan terus mendukung semangat perpaduan nasional selaras dengan prinsip Perlembagaan dan Rukun Negara.

Sehubungan itu, MN menyokong penganjuran satu Konvensyen Khas yang memberi fokus terhadap asas Perlembagaan Persekutuan, terutama membabitkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan bumiputera, bahasa Melayu serta hak semua kaum.

“MN juga mendukung sepenuhnya asas serta Perjanjian Malaysia 1963 dan komited dalam menunaikan segala kandungannya,” tegas beliau.

Dalam perkembangan sama, MN turut mendesak kerajaan supaya menyemak semula dan tidak meneruskan perjanjian perdagangan timbal balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat yang didakwa boleh menggugat kedaulatan ekonomi negara.

MN yakin usaha ke arah penyatuan politik peribumi adalah kunci memastikan negara terus terbela serta dipimpin dengan adil, seterusnya rakyat menikmati kehidupan lebih baik, stabil dan harmoni tanpa penindasan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share