Kerjasama Pendidikan Malaysia–China: PUTRA Mahu KPM & KPT Perjelas Arah Dasar

KUALA LUMPUR, 18 Sept — Parti PUTRA hari ini mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberi penjelasan jelas berhubung kerjasama pendidikan antara Malaysia dan China yang semakin berkembang.

Ketua Penerangan PUTRA, Shahrulufti Sharif berkata walaupun hubungan antarabangsa dalam bidang pendidikan boleh membawa manfaat, ia mesti dipastikan tidak menjejaskan asas kenegaraan, terutama kedudukan Bahasa Melayu dan perpaduan nasional.

“Perkara 152 Perlembagaan menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan ia mesti menjadi bahasa utama pendidikan. Begitu juga Perkara 3 dan 160 yang memperincikan asas agama dan identiti Melayu sebagai tunjang negara. Semua ini tidak boleh dikompromi dalam apa jua bentuk kerjasama luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, PUTRA tidak menolak kerjasama antarabangsa, namun ia perlu berpaksikan nilai tempatan agar sistem pendidikan tidak tunduk kepada pengaruh luar.

Shahrulufti turut merujuk MoU yang telah ditandatangani KPT bersama China pada Jun 2024, yang melibatkan bidang pengajian tinggi termasuk STEM, TVET dan AI. Beliau menegaskan rakyat berhak mengetahui bentuk sebenar kerjasama tersebut serta jaminan bahawa nilai kenegaraan akan terus dipelihara.

“Selain KPT, KPM juga perlu memperjelaskan kedudukan sekolah rendah dan menengah, khususnya sekolah vernakular. Adakah terdapat pengaruh luar dalam silibus atau sistem yang boleh menjejaskan penguasaan Bahasa Melayu dan perpaduan nasional?” soalnya.

PUTRA dalam masa sama menzahirkan kebimbangan bahawa pelajar sekolah vernakular semakin lemah dalam penguasaan Bahasa Melayu, manakala penolakan terhadap penyelarasan silibus kebangsaan menimbulkan jurang nilai yang semakin membimbangkan.

Sehubungan itu, parti itu menuntut agar:

  • KPT menjelaskan bentuk sebenar kerjasama akademik dengan China.
  • KPM menyatakan secara terbuka kedudukan silibus sekolah vernakular.
  • Bahasa Melayu dipastikan kekal sebagai bahasa utama pendidikan.
  • Dasar pendidikan negara kembali berpaksikan semangat Perlembagaan dan Rukun Negara.

“Pendidikan bukan sekadar akademik, ia adalah medan membina bangsa. PUTRA akan terus bersuara demi mempertahankan Bahasa Melayu, Islam dan kedaulatan negara,” kata Shahrulufti. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share