
KUALA LUMPUR, 23 Sep 25 – Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, menggariskan lima kelemahan utama dalam pelaksanaan subsidi bersasar RON95 yang diumumkan kerajaan, sambil memberi amaran bahawa langkah itu mungkin tidak mencapai sasaran sebenar.
Mulai 30 September ini, kerajaan memperkenalkan kuota 300 liter sebulan dengan harga subsidi RM1.99 seliter kepada setiap warganegara yang memiliki lesen memandu. Namun, menurut Rafizi, pendekatan itu tetap menelan belanja besar.
“Walaupun ada mekanisme baharu, kerajaan masih dijangka menanggung RM10 hingga RM15 bilion setahun bagi subsidi RON95 untuk 2025 dan 2026,” katanya dalam hantaran video tiktoknya.
Beliau menyatakan bahawa kuota diberi kepada semua pemegang lesen tanpa mengambil kira pendapatan, menyebabkan kesan penjimatan tidak signifikan.
Antara lain Rafizi juga mendakwa bahawa golongan berpendapatan tinggi berpotensi mendapat lebih banyak manfaat kerana memiliki lebih banyak kenderaan.
Beliau juga berkata, isi rumah M40 yang menggunakan petrol melebihi kuota akan menanggung kos lebih tinggi subsidi ini juga boleh disalahgunakan atau disalurkan ke pasaran gelap.
Rafizi turut menegaskan bahawa pendekatan berasaskan pemilikan lesen semata-mata tidak menjamin subsidi benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.
“Kerajaan perlu menilai semula mekanisme ini. Jika tidak, matlamat penjimatan fiskal tidak tercapai, malah rakyat pula terbeban,” katanya.
Program subsidi bersasar ini diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam usaha mengurangkan ketirisan dan memastikan manfaat disalurkan secara lebih tepat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.