Calon PN Darau, Nabila Norsahar: “Kepimpinan Bukan Soal Umur, Tapi Nilai dan Kejujuran”

KOTA KINABALU, 16 NOV 25 — Calon muda Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau, Nabila Norsahar menegaskan bahawa usia bukan kayu ukur utama dalam menentukan kemampuan seseorang untuk memimpin, sebaliknya nilai, integriti dan keberanian mencuba pendekatan baharu adalah asas kepimpinan yang sebenar.

Menjawab persoalan mengenai keupayaan calon muda untuk memikul tanggungjawab besar dalam pentadbiran, Nabila berkata generasi baharu mempunyai tenaga, idea segar dan pemahaman mendalam terhadap keperluan semasa.

“Sudah tentu saya yakin calon muda boleh dan layak memimpin bukan semata-mata kerana usia, tetapi kerana semangat, idea segar dan keberanian untuk berubah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, dunia kini bergerak pantas dengan cabaran baharu yang memerlukan pemikiran kreatif, keberanian mencuba polisi berbeza serta kefahaman terhadap teknologi dan ekonomi digital — sesuatu yang dekat dengan generasi muda.

Mengulas lanjut, Nabila menegaskan bahawa penyertaan calon muda bukan bertujuan menggantikan kepimpinan senior, tetapi untuk menggabungkan tenaga baharu dengan kebijaksanaan generasi terdahulu.

“Kami ingin membawa politik yang lebih bersih, dasar lebih telus dan kepimpinan yang mendengar suara rakyat bukan hanya ketika pilihan raya, tetapi sepanjang masa,” jelasnya.

Beliau menambah bahawa kepimpinan sejati terletak pada kejujuran, keikhlasan serta kesediaan bekerja rapat dengan rakyat — bukannya pada angka umur.

Nabila percaya bahawa perubahan politik dan sosial hanya akan berlaku jika rakyat memberikan ruang kepada idea dan tenaga baharu.

“Saya yakin perubahan tidak akan datang jika kita hanya menunggu. Ia datang bila kita berani memulakannya,” katanya.

Beliau kini antara wajah baharu PN Sabah yang diketengahkan dalam PRN, dengan mesej utama memperkukuh integriti, dasar yang progresif serta kepimpinan yang lebih responsif terhadap keperluan masyarakat Darau. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share