Mahkamah Arah Shell MDS Bayar Petronas Lebih RM500 Juta

PUTRAJAYA, 23 Sep 25– Mahkamah Rayuan mengetepikan injunksi sementara yang diperoleh Shell MDS (Malaysia) Sdn Bhd sebelum ini, sekali gus mengarahkan syarikat itu membayar tunggakan kepada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berjumlah lebih RM500 juta.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Azizah Nawawi sebulat suara memutuskan Shell MDS tidak boleh menghalang Petronas menuntut bayaran di bawah perjanjian bekalan gas (GSA). Mahkamah turut memberi tempoh 14 hari kepada syarikat itu untuk melunaskan hutang.

Tuntutan berkenaan melibatkan pembayaran bulanan sekitar RM70 juta hingga RM80 juta sejak Ogos 2024 hingga 5 Oktober 2025. Jika tidak diselesaikan, jumlah keseluruhan dijangka mencecah hampir RM1 bilion termasuk caj tambahan.

Kes itu berpunca daripada pertikaian kontrak bekalan gas antara Petronas, Shell MDS serta Petroliam Sarawak Bhd (Petros). Pada Ogos lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan injunksi Shell MDS bagi menangguhkan pembayaran, namun keputusan itu kini diketepikan.

Keputusan ini memberi kemenangan besar kepada Petronas dalam mempertahankan hak kontraknya, sementara Shell MDS dijangka meneliti langkah susulan sama ada memohon kebenaran rayuan ke Mahkamah Persekutuan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share