
KUALA LUMPUR, 14 Ogos 25 – Srikandi Muda Bersatu mempersoalkan kewajaran membelanjakan RM8.4 juta peruntukan bagi dua keping lencana Jalur Gemilang.
Ketua Penerangan Srikandi Muda Nur Farah Azrina Md Azis berkata, seharusnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membelanjakannya untuk meningkatkan kualiti dan mutu pendidikan.
“Semangat cinta negara tidak dibina dengan memaksa pelajar memakai lencana, tetapi melalui pendidikan berkualiti, guru yang bersemangat, dan kemudahan sekolah yang kondusif.
“Lencana ini mungkin melekat di baju pelajar, tetapi masalah sekolah daif terus melekat di hati rakyat,” katanya, dalam satu kenyataan.
Jelasnya, sayap itu tidak menolak kepentingan memupuk semangat patriotisme, namun keputusan itu jelas menunjukkan kerajaan lebih sibuk menghiasi baju pelajar daripada menghiasi kualiti pendidikan negara.
Sehubungan itu pihaknya menuntut agar KPM menghentikan perbelanjaan yang tidak memberi impak langsung kepada kualiti pendidikan sebaliknya menyegerakan pembaikan sekolah daif di seluruh negara.
Kementerian turut disaran fokus kepada kebajikan pelajar dan guru, bukan projek sementara untuk imej politik.
“Rakyat berhak menuntut setiap sen daripada wang mereka dibelanjakan untuk membina masa depan anak-anak Malaysia, bukan membeli gimik yang hanya elok di gambar menteri.
“Malangnya kerajaan sanggup menghabiskan jutaan ringgit untuk projek kosmetik yang sekadar sedap dipandang di dada baju, tetapi menutup mata terhadap penderitaan pelajar di sekolah rosak,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.