
KUALA LUMPUR, 9 Okt 25 – Mantan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menyatakan sokongan terhadap langkah kerajaan memperkenalkan Bursa Carbon Exchange (BCX) dan Forest Carbon Offset (FCO) sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan ekonomi hijau negara.
Beliau berkata, inisiatif yang mula digerakkan sejak tahun 2021 itu merupakan satu langkah positif ke arah menjadikan Malaysia pemain utama dalam pasaran karbon global, di samping menjana pendapatan baharu untuk negara.
“Saya menyambut baik usaha kerajaan dalam pemperdagangan kredit karbon nasional yang dijangka beroperasi seawal tahun 2026,” katanya dalam satu kenyataan di facebook.
Namun begitu, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut mengingatkan kerajaan agar memastikan hasil daripada pasaran karbon tersebut diagihkan secara adil dan telus, terutamanya kepada komuniti setempat dan pihak yang terlibat secara langsung dalam kerja-kerja pemuliharaan alam sekitar.
“Saya mohon jaminan daripada kerajaan agar hasil perdagangan karbon ini benar-benar sampai kepada komuniti penjaga hutan, negeri-negeri berhutan luas seperti Pahang, Kelantan dan Sabah, serta generasi muda yang bakal mewarisi bumi ini,” katanya.
Tuan Ibrahim juga menegaskan bahawa kerajaan perlu mengelak daripada membenarkan monopoli oleh syarikat korporat besar atau hanya membiarkan hasil tersebut dimanfaatkan oleh kerajaan pusat semata-mata.
“Setiap ringgit hasil karbon mestilah kembali kepada rakyat,” tegas beliau.
Menurutnya lagi, pengurusan pasaran karbon perlu berpaksikan keadilan sosial, integriti alam dan kedaulatan sumber negara, bukan semata-mata untuk memenuhi kehendak pasaran global.
“Kerajaan harus memastikan pengurusan pasaran karbon berpaksikan keadilan sosial, integriti alam dan kedaulatan sumber negara — bukan sekadar memenuhi kehendak pasaran global,” ujarnya.
Sebelum ini, dalam sesi soal jawab lisan di Parlimen, Tuan Ibrahim telah mengemukakan soalan kepada kerajaan berhubung pelaksanaan BCX dan FCO, termasuk mekanisme pelaksanaan dan agihan manfaat kepada negeri serta komuniti yang terlibat secara langsung dalam pemeliharaan hutan. @politko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.