
KUALA LUMPUR, 10 Okt 2025 — Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman, menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai lebih bersifat “belanjawan pra-pilihan raya” berbanding satu pelan reformasi ekonomi jangka panjang, susulan tumpuan yang besar terhadap insentif dan bantuan tunai kepada rakyat.
Menurut beliau, nada pembentangan belanjawan yang sarat dengan ungkapan “sukacita diumumkan” menggambarkan strategi kerajaan yang lebih menjurus kepada membina persepsi positif menjelang kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Belanjawan ini bukan sekadar fiskal, tetapi memberi isyarat politik bahawa kerajaan bersedia menghadapi pilihan raya lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Syahir berkata, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.0 hingga 4.5 peratus bagi tahun 2026 menunjukkan pemulihan sederhana, lebih rendah daripada sasaran asal dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Trajektori pertumbuhan sederhana ini menunjukkan ruang fiskal yang terhad untuk merangsang ekonomi secara menyeluruh,” ujarnya.
Amaran Tentang Ketidakseimbangan Agihan dan Reformasi Struktur
Syahir turut menegaskan bahawa walaupun peruntukan keseluruhan berjumlah RM470 bilion mencerminkan disiplin fiskal, pendekatan itu berisiko mengehadkan ruang bagi pembangunan strategik jangka panjang.
“Belanjawan 2026 mungkin tempang untuk memenuhi aspirasi jangka panjang RMK13 kerana terlalu berhati-hati dalam ruang fiskal,” katanya.
Beliau juga mempersoalkan ketidakseimbangan agihan wilayah, apabila negeri-negeri seperti Sabah dan Sarawak menerima peruntukan infrastruktur besar, manakala negeri pembangkang seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis masih ketinggalan dari segi kemudahan asas dan kadar kemiskinan.
Bantuan Tunai Bukan Penyelesaian Jangka Panjang
Walaupun mengakui bantuan seperti STR dan SARA memberi kelegaan kepada rakyat, Syahir berpandangan langkah itu tidak menyelesaikan isu struktur yang lebih mendalam seperti ketidakseimbangan gaji, kenaikan harga barang dan kekurangan peluang pekerjaan berkualiti.
“Bantuan tunai tidak boleh menggantikan reformasi ekonomi sebenar,” tegasnya.
Menurut beliau, kerajaan berdepan dilema antara mengekalkan disiplin fiskal dan tanggungjawab merangsang pertumbuhan ekonomi, namun masih kekurangan keberanian memperkenalkan reformasi struktur yang lebih mendalam.
“Belanjawan ini kekal selamat dari segi angka, tetapi kurang berani dari segi dasar,” katanya lagi.
Isyarat Pasaran Tidak Positif
Syahir turut menarik perhatian bahawa Bursa Malaysia ditutup rendah sejurus selepas pembentangan Belanjawan 2026, sebagaimana yang berlaku selepas pembentangan RMK13 sebelum ini.
“Persoalannya, adakah Belanjawan 2026 benar-benar berani membetulkan asas ekonomi negara, atau sekadar menabur ‘bunga-bunga’ menjelang pilihan raya?” katanya menutup kenyataan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.