PRN Sabah: PN Tak Tutup Pintu Rundingan, Tapi Sedia Hadap PRN Sabah Secara Solo

KUALA LUMPUR, 12 Okt 25 – Walaupun bertekad untuk bergerak secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang, Perikatan Nasional (PN) tetap terbuka terhadap sebarang bentuk kerjasama politik, selaras dengan sifat politik Sabah yang sentiasa berubah-ubah.

Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee, menegaskan bahawa keputusan untuk bertanding sendirian bukanlah tanda pintu rundingan telah tertutup, sebaliknya strategi sementara bergantung kepada dinamik politik semasa.

“Buat masa ini kita memutuskan akan bergerak solo, tetapi politik Sabah ini dinamik. Kita tidak menutup pintu atau halangan kerjasama dengan mana-mana pihak,” katanya kepada Free Malaysia Today (FMT).

Menurut Kiandee, perubahan mendadak dalam gabungan politik lain menjadi isyarat jelas bahawa politik Sabah sukar dijangka dan boleh berubah dalam masa singkat.

“Minggu lalu, Gabungan Rakyat Sabah ada lapan parti dalam gabungan, sekarang tinggal enam. Ini menunjukkan betapa cepat keadaan boleh berubah,” katanya, sambil menambah PN tiada halangan untuk berbincang dengan mana-mana pihak sekiranya ia membawa manfaat kepada rakyat.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa persiapan PN menghadapi PRN kini berada pada tahap tertinggi, dengan proses agihan kerusi antara parti komponen telah selesai tanpa sebarang pertikaian.

“Jumlah kerusi yang akan ditandingi setiap parti akan diumumkan oleh kepimpinan PN dalam masa terdekat,” katanya.

Kiandee juga menzahirkan keyakinan terhadap penerimaan pengundi Sabah, memetik rekod pencapaian PN yang pernah memenangi 17 kerusi DUN pada PRN lalu.

“PN bukan asing di Sabah. Kita sudah buktikan kemampuan dan akan terus tawarkan kepimpinan yang stabil dan berprinsip,” ujarnya.

Sabah bakal menghadapi PRN ke-17 selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin lalu. Pilihan raya dijangka diadakan dalam tempoh 60 hari sebagaimana termaktub di bawah perlembagaan negeri. @sumber

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share