
KUALA LUMPUR, 13 Okt 2025 — Malaysia masih berdepan dilema dualisme sistem perundangan sejak merdeka, melibatkan dua jalur undang-undang Syariah dan Sivil, yang sering menimbulkan kekeliruan dan perbezaan pandangan dalam kalangan rakyat, kata Pengerusi Gabungan Nasionalisme, Haji Aminuddin Yahaya.
Beliau berkata, keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kefahaman masyarakat terhadap undang-undang, tetapi turut memberi kesan terhadap perpaduan kaum dan keharmonian agama di negara ini.
Menurutnya, dualisme itu berpunca daripada sistem perundangan yang diperkenalkan penjajah British, sedangkan sebelum itu Tanah Melayu memiliki sistem hukum berasaskan Islam seperti yang termaktub dalam Kanun Melaka.
Haji Aminuddin menjelaskan bahawa walaupun Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan menetapkan keputusan mahkamah syariah tidak boleh dicabar di mahkamah sivil, namun kuasa mahkamah syariah masih terbatas dalam banyak bidang.
Justeru, beliau mencadangkan agar kerajaan menubuhkan Majlis Perundangan Negara bagi mengharmonikan kedua-dua sistem undang-undang tersebut demi membentuk struktur perundangan yang lebih adil, sejahtera dan menyeluruh.
Katanya, pengharmonian undang-undang Islam dan sivil bukan sesuatu yang mustahil, malah Malaysia telah membuktikan kejayaan serupa melalui pelaksanaan sistem kewangan dan insurans Islam yang diterima masyarakat pelbagai kaum.
Haji Aminuddin menegaskan, sudah tiba masanya Malaysia menyusun semula landskap perundangan supaya selari dengan nilai Islam sebagai asas sejarahnya, namun tetap menjamin keadilan serta keharmonian untuk semua rakyat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.