Dana Zakat: SPRM Tahan Bekas Kakitangan Disyaki Seleweng Bantuan Asnaf

KUALA LUMPUR, 21 Okt 25 — Seorang wanita berusia 30-an yang juga bekas kakitangan sebuah badan berkanun ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah lebih RM120,000.

Menurut sumber SPRM, suspek dipercayai terlibat dalam kelulusan bantuan zakat kepada 28 pemohon tidak layak, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap integriti pengurusan dana kebajikan berkenaan.

Penahanan dibuat di ibu pejabat SPRM Kuala Lumpur pada petang Jumaat ketika suspek hadir memberi keterangan. Mahkamah kemudian membenarkan reman selama empat hari sehingga 22 Oktober bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Siasatan awal mendapati, suspek dipercayai menerima rasuah sebanyak RM2,500 pada Mac lalu, yang dimasukkan ke akaun syarikat miliknya sebagai imbuhan meluluskan permohonan bantuan zakat.

Kes ini mencetuskan perhatian umum berikutan peningkatan laporan penyelewengan bantuan kebajikan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mengeksploitasi kelemahan sistem agihan zakat di beberapa negeri.

SPRM dijangka memanggil beberapa individu lain bagi membantu siasatan dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Datuk  Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), memberi jaminan bahawa tiada sebarang usaha untuk menutup atau menyembunyikan siasatan terhadap sindiket yang disyaki menyeleweng bantuan zakat tersebut.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada pengadu dan masyarakat awam yang berani tampil ke hadapan untuk melaporkan salah laku ini. Keberanian sebegini amat dihargai dan menjadi contoh bahawa integriti adalah tanggungjawab bersama,” katanya. @sumber

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share