Aerotrain KLIA Rosak, “Aib Besar Negara”, Kata Khairuddin

KUALA LUMPUR, 21 Okt 25 — Aktivis politik Khairuddin Abu Hassan, menempelak pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berhubung gangguan berulang sistem Aerotrain yang disifatkannya sebagai “aib besar negara”, meskipun kerajaan telah membelanjakan lebih RM456 juta untuk menaik taraf perkhidmatan tersebut.

Khairuddin mendedahkan beliau sendiri mengalami insiden huru-hara pada 15 Oktober lalu, apabila kedua-dua tren Aerotrain gagal berfungsi, menyebabkan ribuan penumpang termasuk pelancong luar negara terkandas berjam-jam di bangunan satelit terminal utama.

“Saya sendiri mengalami gangguan teknikal Aerotrain KLIA yang baru dibelanjakan RM456 juta tetapi mengalami kerosakan berpanjangan. Situasi ini amat memalukan imej KLIA yang menerima pelbagai rungutan dan sindiran sinis daripada pengunjung luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mendakwa hanya beberapa shuttle bus disediakan untuk menggantikan tren, menyebabkan kesesakan dan pertengkaran kecil antara pengunjung serta pegawai keselamatan.

“Keadaan menjadi huru-hara. Kerosakan berpanjangan ini tidak munasabah apabila kerajaan Madani telah membelanjakan lebih RM451 juta untuk menggantikan Aerotrain lama,” tegasnya.

Kenyataan Khairuddin ini senada dengan tokoh wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin, yang sebelum ini menyifatkan isu Aerotrain KLIA sebagai “bala yang memalukan” selepas dilaporkan tren baharu itu mengalami kerosakan lebih 20 kali sejak pelancarannya.

“RM456 juta dibelanjakan untuk Aerotrain baharu yang asyik rosak — ini bukan lagi masalah teknikal, ini bala yang memalukan,” tulis Kadir dalam catatan medianya.

Khairuddin menambah, reputasi Malaysia sebagai hab penerbangan serantau kini terjejas teruk akibat kelewatan, kekurangan bas pengganti, dan gangguan sistem lain termasuk perkhidmatan Express Rail Link (ERL) serta teksi di terminal utama pada hari kejadian.

“Lapangan terbang ialah pintu masuk utama negara. Jika di situ pun kita gagal menjaga mutu perkhidmatan, imej Malaysia akan terus tercemar di mata dunia,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

ART Satu Perangkap Diplomatik – Kata MP PN

“Ini bukan sekadar isu teknikal. Ini soal maruah dan masa depan dasar Bumiputera. Frasa ‘sovereign interests’ digugurkan dan diganti dengan istilah longgar seperti ‘goodwill’ serta ‘shared commitment’. Itu tanda kita sudah tunduk,” tegas Ahmad Amzad
Read More

Pelantikan Ahli JAC Wajar Diteliti – Titah Tuanku Mukhriz

“Beta pernah bertitah tentang keperluan mendesak untuk memperbaharui JAC. Baru semalam, saya dimaklumkan tentang pelantikan dengan ahli baru JAC… Majlis Peguam telah membantah keras pelantikan baru-baru ini. Perlu ada respons yang munasabah terhadap bantahan yang dibangkitkan,” titah baginda.
Read More
Total
0
Share