PUTRA Desak Kerajaan Nilai Semula Kuota Minyak 300 Liter Sebulan

KUALA LUMPUR, 22 Okt 25 — Sayap pemuda Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Wira, menggesa kerajaan menilai semula pelaksanaan kuota petrol 300 liter sebulan yang didakwa tidak lagi sesuai dengan keperluan rakyat ketika ini.

Pemangku Ketua Wira Putra, Dr. Mohamad Izwan Zainal, berkata pihaknya menerima banyak aduan daripada pengguna, khususnya semasa musim cuti panjang dan perayaan seperti Deepavali baru-baru ini, apabila penggunaan bahan api meningkat mendadak.

“Had kuota 300 liter sebulan nyata menekan pengguna. Ketika musim perayaan, majoriti rakyat akan pulang ke kampung atau bercuti bersama keluarga. Dalam keadaan ini, kuota 300 liter sebulan langsung tidak mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, langkah memperkenalkan “kuota khas cuti” wajar dipertimbangkan, iaitu tambahan kuota minyak sementara berdasarkan purata penggunaan semasa musim cuti sekolah atau perayaan.

“Langkah ini bukan sahaja lebih adil, malah menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan sebenar rakyat,” katanya.

Dr. Mohamad Izwan menegaskan rakyat tidak menuntut subsidi berlebihan, sebaliknya hanya mahu dasar yang lebih anjal dan berpaksikan realiti kehidupan.

“Kerajaan perlu berhenti melihat isu minyak ini dari sudut angka semata-mata, tetapi dari kaca mata rakyat yang berjuang setiap hari untuk bergerak, bekerja, dan pulang ke kampung halaman mereka,” tegasnya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share