
KUALA LUMPUR, 22 Okt 25 — Ketika parti Bersatu menghadapi krisis kepimpinan, kini Armada Bersatu pula bergolak apabila EXCO Armada Bersatu Malaysia, Meor Naqiuddin, mendakwa Ketua Armada Bahagian Batu Gajah, Nadhir Zuhair yang membuat kenyataan menuduh Wan Fayhsal sebagai ‘Trojan Horse’, bukan datang daripada dirinya sendiri.
Meor yang mengaku mengenali rapat Nadhir, tampil mendakwa kenyataan terbaru yang dikeluarkan Nadhir bukan datang daripada dirinya sendiri, sebaliknya “diarahkan oleh pihak tertentu.”
“Saya percaya beliau telah diarahkan, dan saya tahu siapa yang arahkan. Saya ada bukti pengakuan Saudara Nadhir Zuhair,” kata Meor dalam satu kenyataan hari ini.
Lebih mengejutkan, Meor mempersoalkan bagaimana Nadhir boleh mengetahui perincian laporan sulit Lembaga Disiplin parti.
“YB Wan Ahmad Fayhsal sendiri tidak tahu perinciannya, bagaimana Nadhir boleh tahu? Ini menimbulkan persoalan sama ada ada kebocoran maklumat dari dalam Lembaga Disiplin sendiri,” katanya lagi.
Menurut Meor, tuduhan terhadap Wan Fayhsal, kononnya terlibat dalam pemalsuan tandatangan, adalah tidak berasas dan bermotifkan politik dalaman.
“Jika YB Wan Ahmad Fayhsal benar ‘Trojan Horse’, mengapa beliau yang paling konsisten menyerang kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim hingga digantung Parlimen enam bulan dan disaman oleh penyokong PMX?” soalnya.
Beliau turut memberi amaran bahawa tuduhan palsu terhadap Wan Ahmad Fayhsal akan dibawa ke mahkamah.
“Jika beliau tidak dapat membuktikan tuduhannya, saya akan mencadangkan YB Wan Ahmad Fayhsal untuk menyaman beliau secara peribadi,” tegas Meor.
Dalam kenyataan yang sama, Meor turut memberitahu bahawa Nadhir adalah sebahagian daripada pasukan #KitaARMADA, kumpulan yang menyokong YB Wan Ahmad Fayhsal dalam pemilihan parti lalu dan pernah menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan yang dianggap “tidak bersih dan tidak adil”.
Awal hari ini, Ketua Pemuda Bersatu Batu Gajah, Nadhir Zuhair Nozi, mendakwa Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal adalah ‘trojan horse’ sebenar yang sedang bekerjasama dengan musuh.
Dakwaan itu menyusul dakwaan Ahli Parlimen Machang dalam The Zaid Ibrahim Podcast, kelmarin, wujud manipulasi dan ‘silap mata’ dalam pemilihan Bersatu tahun lalu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.