
KUALA LUMPUR, 23 Okt 25 – Menantu bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi buruan dilaporkan hidup mewah di Asia Barat, lapor akhbar New Straits Times (NST).
Ahli perniagaan Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, yang telah melarikan diri lebih dua tahun lalu, dikehendaki oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menghadapi pertuduhan pecah amanah.
Memetik sumber, NST melaporkan Adlan kerap keluar masuk negara berkenaan untuk perjalanan ke luar negara, termasuk ke Thailand bagi bermain golf dan mengunjungi lapang sasar menembak.
Difahamkan, keluarganya turut berada bersamanya, namun NST melaporkan mereka tidak dapat mengesahkan maklumat itu.
SPRM sebelum ini memaklumkan Adlan dipercayai tinggal di sebuah negara yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia.
Adlan, 49, meninggalkan negara ini menuju ke New Zealand pada 17 Mei 2023, tidak lama selepas Muhyiddin didakwa atas beberapa pertuduhan rasuah.
Peguamnya, Mansoor Saat, 70, turut melarikan diri. Beliau meninggalkan negara ini menuju ke Jakarta empat hari selepas Adlan dan sejak itu tidak kembali.
Mansoor juga berdepan tuduhan pecah amanah yang berkaitan dengan projek National Enforcement and Registration (Biometrics) System (NERS), yang dibiayai melalui kemudahan sukuk bernilai RM595 juta. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.