
KUALA LUMPUR, 23 Okt 25 — Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, hari ini menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan butiran terperinci mengenai 43,000 kelulusan kewarganegaraan yang dikeluarkan sejak menteri sedia ada memegang portfolio tersebut.
Menurut beliau, semasa sesi Minister’s Question Time (MQT) minggu lalu, Menteri Dalam Negeri memaklumkan bahawa daripada 49,000 permohonan kewarganegaraan yang diterima, hanya 6,000 permohonan masih belum diluluskan.
“Daripada 49,000 permohonan untuk mendapatkan kewarganegaraan, baki hanya 6,000 lagi. Ini bermakna 43,000 kewarganegaraan telah dikeluarkan,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu turut menuntut agar KDN memperincikan pecahan penerima kewarganegaraan tersebut, termasuk latar belakang negara asal dan bangsa penerima yang diluluskan dalam tempoh pentadbiran menteri berkenaan.
“Kita minta pecahan daripada negara mana dan bangsa mana mereka yang telah diberikan kewarganegaraan dalam tempoh beliau menjadi Menteri Dalam Negeri,” katanya.
Takiyuddin menegaskan bahawa penjelasan itu penting bagi memastikan proses pemberian kewarganegaraan dilaksanakan secara telus, berintegriti dan berlandaskan undang-undang, di samping meredakan keresahan awam mengenai jumlah kelulusan yang besar dalam tempoh singkat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.