Isu Arak Di Sekolah: Selepas Ditegur DAP, Kerajaan Kekal Garis Panduan Sedia Ada

KUALA LUMPUR, 24 Okt 25 — Isu larangan penghidangan alkohol di dewan sekolah yang pada awalnya diumumkan dengan nada tegas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kini dilihat berubah, selepas kabinet hari ini memutuskan untuk mengekalkan garis panduan sedia ada bagi penggunaan dewan sekolah Cina.

Anwar semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat semalam berkata, dia lebih suka jika alkohol tidak dihidangkan di kawasan sekolah, tetapi menyatakan ia hanya boleh dikuatkuasakan di sekolah kerajaan.

Selepas itu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menegur kenyataan itu dengan berkata, ketika PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan sebelum ini, parti terbabit pun tidak pernah campur tangan di sekolah rendah Cina dan aktiviti seumpama itu di dewan sekolah Cina diteruskan tanpa gangguan.

“Amalan ini sudah wujud sejak zaman Merdeka tanpa sebarang masalah,” kata Lim, sambil menyindir sama ada selepas alkohol, kerajaan akan turut melarang hidangan daging babi pula.

Selepas teguran tersebut, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil tampil menjelaskan bahawa larangan itu hanya terpakai kepada aktiviti rasmi sekolah, manakala penggunaan dewan oleh pihak luar “tertakluk kepada peraturan pengurusan sekolah dan pihak berkuasa tempatan”.

Penjelasan itu dibuat dalam sidang media selepas mesyuarat kabinet di Putrajaya petang ini yang  secara tidak langsung memperlihatkan pelunakan pendirian asal perdana menteri.

Keputusan baharu itu bermakna, penghidangan minuman beralkohol masih dibenarkan apabila dewan sekolah Cina disewa untuk acara masyarakat yang tidak melibatkan pelajar.@politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share