ADUN Kuah ‘Londehkan Seluar Sendiri’, Kata Armada

Foto – Facebook Adun Kuah

KUALA LUMPUR, 27 Okt 25 — Sekumpulan ahli Armada Bersatu Malaysia hari ini menempelak kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Amar Pared Mahamud, yang sebelum ini mengkritik bekas Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, dengan menyifatkannya sebagai tindakan “melondehkan seluar sendiri”.

Dalam satu kenyataan bersama, kumpulan tersebut berkata, tuduhan Amar terhadap Wan Ahmad Fayhsal kononnya gagal menguruskan sayap itu ketika menerajui Armada disifatkan tidak berasas dan bermotifkan politik dalaman.

“Mengapa perkara itu hanya didedahkan selepas beliau digantung keahlian dan selepas beliau berani mengkritik Presiden secara terbuka? Kenyataan dangkal ini jelas menunjukkan Amar Pared Mahamud bukanlah seorang pemimpin yang jujur,” ujar kenyataan itu.

Menurut mereka, tindakan ADUN Kuah itu memperlihatkan sikap hipokrit kerana beliau sendiri pernah menjawat jawatan Setiausaha Armada Negeri Kedah serta EXCO Armada Pusat ketika era kepimpinan Wan Ahmad Fayhsal, namun tidak pernah menegur sebarang kelemahan pada waktu itu.

“Pendedahan Amar Pared Mahmud tidak ubah seperti melondehkan seluarnya sendiri. Dia tidak berani menegur secara terbuka kepincangan semasa berada di bawah kepimpinan WAF, dan ini menunjukkan betapa hipokritnya sikap ADUN ini,” menurut kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu turut menempelak peranan Amar sebagai Pengarah Jabatan Politik dan Strategi Armada di bawah pimpinan Hilman Idham yang dilihat gagal memulihkan kedudukan Armada dalam kalangan anak muda selepas PRU negeri lalu.

Mereka turut mempersoalkan integriti Amar dalam pemilihan parti peringkat negeri, mendakwa beliau turut terlibat dalam manipulasi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) serta gagal membawa suara akar umbi di Langkawi.

“Tingkah laku kamu sedang diperhatikan oleh rakyat di kawasan Kuah. Kehadiran kamu sebagai wakil rakyat yang menang atas gelombang sokongan Perikatan Nasional semakin tidak dirasai,” tegas kenyataan itu.

Kenyataan tersebut ditandatangani oleh kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Ahli-Ahli Armada Se-Malaysia. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share