
KUALA LUMPUR, 27 Okt 25 — Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menegur Kementerian Komunikasi agar lebih berhati-hati dalam urusan rasmi kerajaan, termasuk memastikan tiada kesilapan teknikal atau protokol yang boleh mencemar imej negara ketika menerima kunjungan pemimpin luar.
Beliau berkata, kesilapan seperti tersalah sebut nama pemimpin yang berkunjung ke Malaysia menunjukkan kelemahan pentadbiran dan menjejaskan reputasi negara di mata dunia.
“Tolonglah pastikan kesilapan tidak berlaku dalam perkara yang tidak sepatutnya berlaku kesilapan. Jangan ada salah sebut nama pemimpin yang datang ke negara kita. Ini memalukan negara,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, setiap kali kesilapan dibuat, kerajaan terpaksa mengeluarkan pembetulan rasmi — sesuatu yang memberi gambaran kurang baik terhadap kecekapan jentera komunikasi negara.
Ahli Parlimen itu turut menegur tindakan kerajaan menyambut pemimpin asing secara berlebihan, terutama mereka yang sedang berdepan kecaman antarabangsa.
“Satu dunia sedang mengecam Donald Trump kerana genosid di Gaza. Tetapi Perdana Menteri kita menyambut beliau dengan menari di tengah panas di lapangan terbang. Apa logiknya sambutan sebegini diberikan kepada individu yang sedang dikecam oleh seluruh dunia?” soalnya.
Beliau menyifatkan tindakan tersebut bukan sahaja tidak wajar, malah boleh memberi persepsi bahawa Malaysia tidak peka terhadap isu kemanusiaan global.
“Sambutan berlebihan terhadap tokoh yang kontroversial hanya memalukan negara kita,” katanya lagi.
Wan Saiful baru-baru ini dipecat dari parti Bersatu atas aduan mengutip SD untuk menjatuhkan Presiden. Namun banyak pihak mengkritik tindakan Lembaga Disiplin Bersatu yang dilihat tidak akan menyelesaikan masalah ketika Muhyiddin kini berhadapan dengan tekanan besar menuntut peletakan jawatan beliau bagi memberi lalaun kepada pemimpin baharu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.