
KUALA LUMPUR, 30 Okt — Seorang exco Armada Bersatu Meor Naqiuddin Shamsudin mempersoalkan alasan yang diberikan berhubung penamatan Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq, daripada jawatan tersebut.
Meor juga dalam satu hantaran di Facebook, hairan dengan penjelasan Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang menyebut penyingkiran itu mungkin berpunca kerana beliau tidak termasuk dalam kalangan individu yang “faham tentang perlembagaan, dasar dan keputusan-keputusan parti.”
“Cuma kemusykilan saya, takkanlah Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan Bersatu ‘tak faham tentang perlembagaan, dasar dan keputusan-keputusan parti’?
“Bukankah itu dalam ruang lingkup tugas dan kepakaran saya yang juga seorang peguam?” katanya.
Khaliq yang juga Ketua Bersatu Kepala Batas sebelum ini berkhidmat sebagai Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan parti, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap alasan yang dikemukakan.
Sebaliknya, dalam hantaran sama, Meor secara sinis mencadangkan agar Ketua Penerangan Bersatu yang sepatutnya diganti, selepas mempersoalkan latar belakang individu itu yang dikatakan berasal daripada bidang farmasi.
“Saya fikir, mungkin Ketua Penerangan Bersatu yang patut diganti,” katanya.
Kenyataan itu hadir susulan keputusan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menamatkan pelantikan Khaliq sebagai ahli MPT lantikan, keputusan yang turut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan ahli parti termasuk Armada Bersatu Kepala Batas yang sebelum ini menyatakan sokongan terhadap pendirian beliau. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.