
KUALA LUMPUR, 13 Sep 25 — Beberapa perwakilan Pemuda PAS mengingatkan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) agar lebih berhati-hati dalam mengumumkan calon Perdana Menteri menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Mereka menegaskan, pengumuman tanpa rundingan bersama semua komponen boleh dianggap sebagai memberi “peluru” kepada pihak lawan, selain mengundang keresahan dalam kalangan rakan gabungan.
Menurut mereka, keputusan besar seperti menamakan calon Perdana Menteri seharusnya dibincang dan dipersetujui bersama, bukan dibuat secara unilateral oleh mana-mana parti.
“PN perlu menunjukkan kesepaduan. Kalau tidak, isu ini boleh dipergunakan oleh lawan untuk melemahkan gabungan kita,” kata salah seorang perwakilan.
Isu ini timbul selepas Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu baru-baru ini menamakan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai calon Perdana Menteri PN.
Langkah tersebut bagaimanapun menimbulkan perdebatan dalaman, termasuk daripada kalangan PAS yang mahukan proses lebih inklusif.
Perwakilan PAS berpendapat, tumpuan gabungan sepatutnya diberikan kepada agenda rakyat dan tawaran dasar yang meyakinkan, bukannya perebutan kedudukan semata-mata. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.