Perjanjian Malaysia – AS Ibarat Perjanjian Pangkor, Sindir Kadir Jasin

KUALA LUMPUR, 30 OKT 25 — Wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin, menyifatkan perjanjian dagang yang ditandatangani antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada 26 Okt lalu sebagai satu ulang tayang sejarah lama yang pernah membawa kepada penjajahan di Tanah Melayu.

Dalam satu tulisan di Facebook, beliau berkata sesiapa yang memahami sejarah tidak akan terkejut dengan perjanjian berkenaan, yang disifatkannya melibatkan dua pemimpin dengan kepentingan berbeza — seorang pemimpin kuasa besar dunia yang berusaha mempertahankan ekonominya, dan seorang lagi pemimpin negara membangun yang mahukan keabsahan serta pengiktirafan antarabangsa.

Malah, Kadir turut membandingkan perjanjian itu dengan Perjanjian Pangkor 1874, yang membuka jalan kepada penjajahan British di Tanah Melayu melalui sistem Residen.

“Pucuk dicita ulam mendatang. Di Perak, Raja Muda yang terlepas jawatan berhasrat merampas balik takhta. Maka beliau meminta tolong sahabatnya, Tan Kim Cheng di Singapura, seorang ahli kongsi gelap yang berjaya menjadi peniaga, ahli politik dan diplomat.

“Dengan bantuan pedagang Inggeris, William H. Read, termeterailah Perjanjian Pangkor pada 1874 yang menandakan bermulanya penjajahan Inggeris di negeri-negeri Melayu,” katanya.

Beliau menjelaskan, sejarah itu menunjukkan bagaimana persekongkolan antara pemimpin tempatan, pedagang asing dan kuasa luar akhirnya membawa kepada kehilangan kedaulatan.

Kadir turut menyamakan keadaan semasa dengan apa yang berlaku 151 tahun lalu, apabila tindakan segelintir pihak yang mengejar pengaruh membuka ruang kepada kuasa besar menanam pengaruh di rantau ini.

“Kini, dalam Zaman Madani, beberapa pihak berpendapat perjanjian Anwar-Trump memberi ruang kepada Amerika melaksanakan bentuk penjajahan baharu terhadap negara kita,” katanya.

Menurut Kadir, teks perjanjian itu menggunakan frasa “Malaysia shall” secara meluas, memberi gambaran seolah-olah Malaysia tertakluk kepada obligasi tertentu di bawah perjanjian berkenaan.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa agar perjanjian itu dibentangkan di Parlimen untuk perbahasan terbuka, bagi memastikan kepentingan negara tidak terjejas.

“Pandangan rambang seorang dua ahli tidak memadai. Parlimen wajib membahaskannya sebagaimana Kongres Amerika membatalkan beberapa perintah tarif yang dibuat oleh Trump sebelum ini,” katanya.

Kerajaan Malaysia dan AS baru-baru ini telah menandatangani satu perjanjian perdagangan timbal balik yang menyeluruh, dengan fokus memperkukuh hubungan ekonomi dua hala dan memperluas akses pasaran eksport antara kedua-negara.

Rundingan perjanjian perdagangan baharu antara Malaysia dan Amerika Syarikat kini mencetuskan gelombang kebimbangan dalam kalangan penganalisis dan ahli Parlimen, yang melihat langkah itu berpotensi mengorbankan dasar ekonomi bebas negara demi kelegaan sementara daripada tekanan tarif Amerika. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share