Lebih Banyak Jelajah Desak Muhyiddin Undur, Kata Ketua Bahagian

KUALA LUMPUR, 31 OKT 25 – Beberapa siri program jelajah dan kenyataan terbuka akan digerakkan oleh pimpinan serta ahli Bersatu bagi mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur daripada jawatan Presiden parti itu.

Mantan Ketua Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd. Azrudin Md. Idris yang merupakan salah seorang Ketua Bahagian yang dipecat, menegaskan ia berikutan kepimpinan baharu perlu diberi ruang demi masa depan dan peremajaan parti.

Jelas Azrudin, desakan itu bukan bersifat peribadi sebaliknya bertujuan memastikan Bersatu kekal relevan serta diterima pengundi muda yang semakin meningkat disamping ahli-ahli di peringkat akar umbi kini mahukan perubahan dan menolak budaya kepimpinan berasaskan pengaruh keluarga atau individu tertentu.

“Bersatu bukan milik mana-mana tokoh semata-mata. Ia parti milik semua ahli,” tegasnya.

Jelasnya siri jelajah yang akan dianjurkan selepas ini bukan sekadar kempen dalaman, tetapi satu usaha membangkitkan kesedaran ahli bahawa parti perlu berani melakukan peremajaan kepimpinan.

Beliau juga menegaskan ugutan pemecatan atau tindakan disiplin tidak akan menghalang usaha mendesak pengunduran Muhyiddin.

“Sudah tiba masanya Bersatu mempunyai pemimpin yang mendapat sokongan sebenar daripada ahli, bukan sekadar restu isteri.

“Jika Kabinet boleh bertanggungjawab secara jemaah, maka presiden juga harus bertanggungjawab atas janji sendiri. Beliau wajar berundur dengan terhormat,” tegas Mohd. Azrudin.

Beliau juga berkata, sekiranya Muhyiddin benar berjiwa pemimpin, beliau perlu menunaikan janji untuk memegang jawatan presiden hanya bagi satu penggal seperti yang disebut dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) 2023.

Malah katanya, keputusan itu dibuat Muhyiddin secara terbuka selepas menerima nasihat daripada isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

“Kenyataan itu disiarkan media dan boleh disemak umum. Maka tidak salah jika kini isu transisi kepimpinan dibincangkan secara terbuka oleh ahli parti,” katanya lagi.

Sebaliknya, keresahan kini timbul dalam kalangan ahli ialah apabila Muhyiddin yang sebelum ini menyatakan hasrat bersara, kini dilihat mahu mengekalkan jawatan dan malah menzahirkan cita-cita menjadi perdana menteri buat kali kedua.

Katanya, tindakan itu menunjukkan kepentingan keluarga dan peribadi lebih diutamakan Muhyiddin berbanding perjuangan parti.

“Dahulu beliau sendiri meminta peluang satu penggal dan tiada pencabar kerana ahli menghormati janjinya.

“Kini, apabila beliau mengubah pendirian, ramai ahli merasakan kepercayaan itu dikhianati,” tegas Azrudin. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share