Lembaga Disiplin Tak Berintegriti, Kata Ketua Bahagian Selayang

KUALA LUMPUR, 2 NOV 25 — Ketua Bersatu Selayang Ahmad Nasir Mid mendakwa ada pihak dalam lembaga disiplin parti itu tidak berintegriti dengan membocorkan kandungan surat sulit berkenaan aduan yang diajukannya.

Kandungan surat itu katanya dibocorkan pihak tertentu kepada individu yang diadukan, sedangkan dokumen berkenaan hanya diserahkan kepada lembaga disiplin dan kepimpinan Bersatu negeri yang dipimpin Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Azmin Ali.

“Saya ada hantar surat mengadukan tindakan pihak tertentu cuba membuatkan Bersatu Selayang digantung untuk membolehkan mereka mengambil alih kepimpinan dengan memaksa ahli jawatankuasa mengemukakan usul tidak percaya terhadap saya.

“Surat itu saya hantar pada 12 Okt lepas kepada lembaga disiplin dan kepimpinan Bersatu Selangor,” katanya, kepada politiko.my.

Namun begitu, pihak lawan katanya memperolehi dokumen tersebut dan mengugut ahli jawatankuasanya.

“Saya sudah mengadakan pertemuan dengan ahli jawatankuasa dan 18 daripada 23 anggota jawatankuasa menyatakan sokongan kepada saya, jadi bahagian Selayang tidak digantung.

” Pihak sebelah sana kemudian mengetahui perkara itu melalui surat yang saya hantar kepada lembaga disiplin dan memarahi ahli jawatankuasa malah ada sehingga mengugut mereka,” kata Nasir.

“Di mana kredibiliti pentadbiran lembaga disiplin. Bagaimana perkara itu boleh bocor sampai kepada pihak yang kita adu.

“Kita hilang kepercayaan kepada pentadbiran. Mereka bias,” katanya lagi.

Dalam siri jelajah Selamatkan Maruah Ahli dan Kepimpinan (Semarak) di Ampang pagi tadi, Ketua Bersatu Bangi Datuk Wan Saiful Wan Jan yang dipecat parti turut mempersoalkan kredibiliti lembaga disiplin.

Menurutnya, majlis itu dipengerusikan Datuk Mohammed Radzi Abdul Manan, yang merupakan bapa mentua kepada Naib Presiden Datuk Seri Faizal Azumu dan juga bapa kepada salah seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

“Saya tidak mempertikaikan beliau sebagai ahli dan individu parti yang mempunyai semangat tinggi kepada parti.

“Tetapi beliau ada hubungan dengan Radzi,” katanya, dalam siri jelajah tersebut. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share