Perjuangan Kemerdekaan Belum Selesai – Presiden PAS

KUALA LUMPUR, 4 Sep 25 – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan perjuangan kemerdekaan negara belum benar-benar selesai kerana Malaysia masih dibelenggu bayangan penjajahan dalam pelbagai aspek, termasuk politik, ekonomi, pendidikan dan sosial.

Dalam artikel yang dimuat naik di laman facebook bertajuk “PAS dan Perjuangan Kemerdekaan”, Abdul Hadi menekankan bahawa PAS merupakan kesinambungan gerakan Islam yang telah wujud sejak abad ke-19 melalui peranan para ulama Nusantara, sebelum berkembang menjadi sebuah parti politik pada tahun 1951.

Menurut beliau, sejarah perjuangan kemerdekaan sebenar bermula sejak kejatuhan Melaka pada tahun 1511 apabila umat Islam bangkit menentang penjajahan Portugis. Bagaimanapun, sumbangan tokoh-tokoh ulama dan pejuang awal itu sering dipadamkan dalam lipatan sejarah yang ditulis penjajah.

“Malangnya, tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang asal ditutup dalam lipatan sejarah. Akhirnya, kemerdekaan yang dihadiahkan adalah mentah. Walaupun penjajah sudah pulang, bayangan mereka masih bertapak atas pelbagai jenama,” katanya.

Abdul Hadi menjelaskan, PAS sejak awal berbeza pendekatan dengan UMNO dalam tuntutan kemerdekaan, termasuk menolak pengaruh British dalam ekonomi dan ketenteraan, mengetatkan syarat kewarganegaraan asing serta menjadikan Islam agama rasmi negara.

Beliau turut menegaskan bahawa penjajah bukan sekadar datang kerana perdagangan rempah, tetapi membawa agenda besar iaitu melemahkan Islam melalui sekularisme, pendidikan, dan ekonomi. Namun, para ulama bertindak balas dengan menghidupkan pengajian pondok, sekolah agama rakyat, dan sistem pendidikan Islam.

“Krisis yang berpanjangan dalam segala aspek adalah akibat bayangan oleh kemerdekaan yang mentah tersebut. Kedudukan Islam dan bangsa terancam oleh kejahilan terhadap agama sendiri, sehingga apa sahaja boleh disogok untuk mengelirukan kefahaman terhadap Islam,” ujarnya.

Sehubungan itu, Abdul Hadi menegaskan bahawa perjuangan PAS adalah untuk mengembalikan kekuatan Islam melalui pendekatan demokrasi dan pendidikan rakyat.

“Perubahan boleh dilakukan melalui pendekatan Islam yang telah terbukti berjaya dalam menghadapi zaman dan masyarakat yang berbeza. Inilah asas perjuangan PAS sejak ditubuhkan,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share