
KUALA LUMPUR, 5 NOV 25 — Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Johor memandang serius insiden pencemaran Sungai Johor di Kota Tinggi yang berpunca daripada kolam perlombongan pasir pecah sehingga menjejaskan ribuan pengguna air di kawasan selatan negeri ini.
Dalam satu kenyataan media, Ketua Penerangan Pejuang Johor, Suraya Sulaiman menegaskan kejadian tersebut adalah akibat kelemahan kawalan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti perlombongan berhampiran kawasan tadahan air.
Menurutnya, kecuaian itu bukan sahaja menjejaskan bekalan air kepada penduduk setempat, tetapi turut memberi kesan besar terhadap alam sekitar serta kehidupan rakyat yang bergantung kepada sumber air bersih.
“Pejuang Johor berikrar untuk terus menjadi suara rakyat dalam memastikan hak terhadap air bersih dan alam sekitar yang lestari sentiasa terpelihara.
“Keuntungan tidak boleh mengatasi keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” tegas Suraya.
Pejuang Johor turut mendesak agar siasatan tegas dan telus dijalankan terhadap syarikat perlombongan yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Parti itu juga menggesa agar lesen operasi syarikat berkenaan digantung sementara siasatan dijalankan dan menuntut kerajaan negeri melaksanakan audit menyeluruh terhadap semua aktiviti perlombongan yang dijalankan di kawasan tadahan air di seluruh negeri.
Pengawasan dan kelulusan terhadap aktiviti perlombongan katanya harus diperperketat bagi mengelakkan insiden seumpama ini daripada berulang pada masa hadapan.
Baru-baru ini, media melaporkan sebuah syarikat yang dikaitkan dengan insiden pencemaran Sungai Johor berkemungkinan berdepan tindakan pendakwaan sekiranya Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenal pasti terdapat pelanggaran di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).
JAS memaklumkan hasil mesyuarat bersama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memutuskan tindakan perundangan akan diambil di bawah Enakmen PTG (Pelesenan) dan Akta SPAN yang berkenaan.
Jabatan Penyiaran menyatakan sebanyak 448,057 akaun pengguna telah terjejas dan daripada 455,499 akaun atau kira-kira 98 peratus berjaya dipulihkan susulan pencemaran Sungai Johor yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak terancang. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.