Dr Akmal Saleh Pelawa Saifuddin Abdullah Kembali Bersama UMNO

KUALA LUMPUR | 7 Jan 26 — Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyeru pemimpin Melayu Islam agar menghentikan perbalahan politik dan kembali bersatu demi kepentingan agama serta bangsa, susulan perkembangan terbaharu melibatkan pemecatan Dato’ Sri Saifuddin Abdullah daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Menerusi satu hantaran di media sosial semalam, Akmal secara terbuka mengajak Saifuddin Abdullah dan pemimpin lain yang masih komited dengan perjuangan orang Melayu supaya kembali bersama UMNO bagi memperkukuhkan semula kesatuan politik Melayu.

“Bersatulah wahai pemimpin Melayu Islam. Jangan lagi bercakaran,” tulis beliau.

Akmal menegaskan bahawa perpecahan dalam kalangan parti dan pimpinan Melayu hanya membawa kerugian kepada agama dan bangsa, selain melemahkan kedudukan orang Melayu dalam landskap politik negara.

“Kita berpecah yang rugi adalah agama dan bangsa kita di tanah air ini,” katanya.

Beliau turut menggesa semua pihak mengambil iktibar daripada kesilapan lalu dan bergerak ke hadapan dengan semangat kesatuan yang lebih matang dan realistik.

“Belajarlah dari kesilapan kita sebelum ini,” tambahnya.

Kenyataan Akmal itu hadir ketika Saifuddin Abdullah baru-baru ini mengumumkan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Lembaga Disiplin BERSATU yang memecat beliau sebagai ahli parti, sambil mendakwa proses yang dilalui tidak adil dan bercanggah dengan prinsip keadilan asasi.

Setakat ini, Saifuddin Abdullah belum mengeluarkan sebarang reaksi balas terhadap pelawaan terbuka daripada Ketua Pemuda UMNO tersebut. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share