
KUALA LUMPUR, 10 JUN 25 – Tanpa mekanisme pemantauan bebas atau audit awam diperkenalkan dalam kutipan data rakyat, ia menimbulkan kebimbangan risiko penyalahgunaan maklumat peribadi rakyat akan terus meningkat, kata Gerakan.
Ketua Penerangan Gerakan Wendy Subramaniam menegaskan, lebih-lebih lagi dalam keadaan tiada sistem perlindungan data yang menyeluruh.
“Gerakan percaya selagi tiada rangka kerja undang-undang perlindungan data yang kukuh dan menyeluruh, rakyat Malaysia akan kekal terdedah kepada ancaman siber dan penyalahgunaan kuasa, sekali gus merosakkan kepercayaan awam terhadap kerajaan dan institusi-institusi negara.
“Bagi mengatasi krisis kepercayaan ini, Gerakan menggesa kerajaan untuk mengambil langkah segera dengan menerbitkan dokumen penggunaan data secara telus, menubuhkan jawatankuasa pemantau bebas, menyediakan laporan tahunan impak dasar, serta memperkenalkan mekanisme pilihan keluar (opt-out) atau audit tanpa nama bagi menjamin hak privasi rakyat dalam era digital,” katanya, dalam satu kenyataan.
Tambah Wendy, insiden kebocoran data peribadi melibatkan 22.5 juta rakyat Malaysia pada tahun 2022, kebimbangan berkenaan kutipan data daripada syarikat telco membimbangkan.
“Gerakan menyatakan kebimbangan ini adalah berasas memandangkan kelemahan infrastruktur keselamatan siber kerajaan yang masih belum ditangani secara menyeluruh,” katanya.
Selain itu, rakyat, tegasnya, berhak untuk tahu bagaimana dan berapa lama data mereka disimpan serta siapa yang mempunyai akses kepada maklumat tersebut.
Jelasnya, sebarang usaha yang melibatkan data peribadi rakyat mestilah melalui proses perbincangan awam yang menyeluruh, termasuk ketika pelaksanaan kajian perintis.
Amalan “laksana dahulu, jelaskan kemudian” katanya hanya akan menjejaskan prinsip demokrasi dan mencetuskan keresahan awam. ]
Terdahulu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengarahkan semua syarikat telekomunikasi (telco) menyerahkan data pengguna telefon di Malaysia untuk pengumpulan statistik oleh Jabatan Perangkaan (DOSM).
Menteri komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, SKMM dan telco bersetuju tiada maklumat serta data peribadi individu akan diserahkan. @politiko.my