
KUALA LUMPUR | 8 Jan 26 – Pemecatan Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Ahli MPT Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), dilihat tertumpu kepada pimpinan atau individu yang dikaitkan sebagai mesra dengan Datuk Seri Hamzah Zainuddin menjadi persoalan mengenai hala tuju kepimpinan parti itu.
Ketika mengulas perkembangan tersebut, Profesor Kehormat Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid berpandangan bahawa tindakan berkenaan tidak membawa sebarang manfaat strategik kepada BERSATU, sebaliknya, ia dilihat mengesahkan kewujudan usaha oleh kelompok tertentu dalam parti untuk menutup ruang perbezaan pandangan dalam kalangan pimpinan utama.
“Pemecatan ini tidak membawa apa-apa kebaikan kepada parti BERSATU, melainkan mengesahkan bahawa juak-juak Muhyiddin sedang berusaha sedaya-upaya menutup ruang perbedaan pendapat dalam kalangan pimpinan utama parti. Katanya.
Menurut beliau, pendekatan pemecatan yang bersifat sepihak hanya memperkukuh persepsi negatif terhadap kepimpinan tertinggi parti, khususnya apabila tindakan disiplin itu menyasarkan pihak yang dilabel sebagai penyokong kem tertentu.
Keadaan ini, katanya, secara tidak langsung memburukkan imej Tan Sri Muhyiddin Yassin, walaupun tidak dapat dipastikan sama ada keputusan tersebut dibuat atas arahan langsung beliau atau sebaliknya.
Ahmad Fauzi turut mengingatkan bahawa reaksi rakyat sebelum ini terhadap tindakan disiplin ke atas individu yang didakwa menyokong kem Hamzah Zainuddin pada penghujung tahun lalu seharusnya dijadikan pengajaran.
BERSATU, katanya, perlu mengurus perbezaan pandangan secara beradab dan matang, bukannya menyingkirkan khilaf yang merupakan unsur penting dalam pembinaan pemikiran dan kepimpinan parti.
“BERSATUsepatutnya belajar mengurus adab perbezaan pandangan, bukan menghapuskan khilaf yang dengan sendirinya membunuh kreativiti berfikir dalam kalangan barisan pimpinannya.
“Muhyiddin perlu sedar bahawa era kepimpinannya sedang menuju titik akhirnya, maka adalah lebih baik beliau meninggalkan legasi yang baik kepada penyokong-penyokongnya. Tambahnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.