Bekas Jeneral Ditahan, SPRM Berjaya Gagalkan Cubaan Larikan RM2.4 juta

KUALA LUMPUR | 8 Jan 26 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menggagalkan cubaan melarikan wang tunai berjumlah RM2.4 juta yang dipercayai ada kaitan dengan kes rasuah membabitkan perolehan projek Tentera Darat Malaysia (TDM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata wang berkenaan cuba dipindahkan dari sebuah rumah ke rumah lain oleh seorang individu awam yang terbabit dalam kes tersebut.

“Semalam, pegawai kami mendapat maklumat, dan pagi tadi kami menemui lebih kurang RM2.4 juta yang cuba dilarikan oleh individu itu. Wang tersebut adalah milik seorang suspek kes ini dalam bentuk tunai,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

SPRM turut mengambil keterangan seorang bekas pegawai kanan tertinggi TDM dan isterinya di Putrajaya, selepas pegawai terbabit dibenarkan keluar dari hospital kerana rawatan tekanan darah tinggi.

Semalam, SPRM menahan 17 pengarah syarikat disyaki terlibat dalam rangkaian kartel tender perolehan TDM, yang terdiri daripada sembilan lelaki dan lapan wanita berusia 20 hingga 60-an. Mereka ditahan ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya.

Perintah reman lima hari sehingga 10 Januari dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah bagi membolehkan siasatan lanjut.

SPRM sebelum ini telah menyita enam akaun bank dipercayai milik seorang pegawai kanan dan ahli keluarganya pada 29 Disember lalu, bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan perolehan projek TDM.

Fokus siasatan merangkumi projek yang dilaksanakan melalui tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. @sumber

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share