PAS Persoal Kerajaan Jemput Min Aung Hlaing

KUALA LUMPUR, 10 Okt 26 — PAS mempersoalkan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjemput pemimpin junta Myanmar, Min Aung Hlaing, ke Malaysia pada 7 dan 8 Oktober lalu, sambil mendesak kerajaan menjelaskan pendirian negara terhadap dakwaan pencabulan hak asasi manusia serta keselamatan warga Myanmar yang dihantar pulang.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, berkata sambutan rasmi terhadap Min Aung Hlaing berisiko menimbulkan persoalan mengenai konsistensi Malaysia dalam mempertahankan prinsip keadilan antarabangsa dan hak asasi manusia.

Menurutnya, PAS tidak menolak kepentingan diplomasi bagi menyelesaikan isu warga Myanmar dan pelarian di Malaysia, namun pendekatan itu tidak boleh mengatasi prinsip keadilan atau mengabaikan keselamatan manusia.

“Prinsip keadilan tidak boleh berubah mengikut identiti pemimpin atau kepentingan diplomatik,” katanya dalam kenyataan media.

Ahmad Fadhli turut membangkitkan permohonan Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada November 2024 untuk mendapatkan waran tangkap terhadap Min Aung Hlaing berhubung dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan penganiayaan komuniti Rohingya.

Beliau membandingkan perkara itu dengan tindakan ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, pada November 2024 atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan Gaza.

Menurut Ahmad Fadhli, Malaysia perlu menjelaskan bagaimana pendirian terhadap akauntabiliti antarabangsa diterjemahkan dalam hubungan diplomatik dengan Myanmar, khususnya ketika krisis kemanusiaan di negara itu masih berlarutan.

Dalam masa sama, PAS menuntut kerajaan mendedahkan mekanisme saringan, penilaian risiko dan jaminan keselamatan bagi warga Myanmar yang dihantar pulang, termasuk individu yang mungkin memerlukan perlindungan antarabangsa.

Beliau menegaskan bahawa tindakan terhadap pendatang asing tanpa izin perlu dibezakan daripada pengurusan pelarian dan pemohon suaka yang mungkin berdepan risiko penganiayaan jika dihantar pulang tanpa penilaian sewajarnya.

PAS turut mendesak kerajaan menjelaskan tujuan dan hasil sebenar lawatan Min Aung Hlaing, memperincikan proses penghantaran pulang warga Myanmar serta memperkemas pengurusan pelarian dan pendatang asing tanpa izin melalui kerjasama serantau.

“Kerajaan mesti menjelaskan kepada rakyat sama ada kunjungan ini benar-benar membawa penyelesaian kepada krisis Myanmar atau sekadar memberikan ruang diplomatik kepada pemimpin junta tanpa jaminan kemajuan yang nyata,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share