
KUALA LUMPUR | 10 Okt 26 – Kerajaan Malaysia digesa menjalankan siasatan segera terhadap entiti korporat negara yang dikaitkan dengan kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia, susulan pendedahan Greenpeace pada 5 Oktober lalu.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, siasatan perlu dilaksanakan secara telus dan menyeluruh bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab serta menentukan kaitan mereka dengan krisis jerebu rentas sempadan.
Beliau yang juga Naib Presiden Parti Wawasan Negara berkata, rakyat Malaysia tidak sepatutnya terus menanggung kesan pencemaran udara yang berulang setiap tahun, termasuk ancaman kesihatan, gangguan ekonomi dan penutupan sekolah.
“34.4 juta rakyat Malaysia tidak sepatutnya terus menanggung akibat pencemaran udara yang berulang setiap tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wan Saiful, apabila sekolah terpaksa ditutup akibat jerebu serius, pelajar kehilangan waktu pembelajaran, manakala ibu bapa dan peniaga turut menanggung kesan daripada keadaan tersebut.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mewujudkan tabung pampasan khas yang dibiayai syarikat-syarikat terbabit bagi membantu mangsa jerebu, termasuk menampung kos rawatan kesihatan, pemulihan alam sekitar dan kerugian yang dapat dibuktikan.
Beliau berkata, rakyat tidak sepatutnya menanggung sendiri kos akibat pencemaran yang bukan berpunca daripada tindakan mereka sekiranya terdapat syarikat yang terbukti bertanggungjawab.
Wan Saiful turut menyeru rakyat yang terjejas bersama organisasi masyarakat sivil (CSO) mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap entiti korporat yang dapat dibuktikan bertanggungjawab.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa sebarang tindakan perlu berasaskan bukti dan dilaksanakan melalui saluran undang-undang yang sah.
Pendedahan Greenpeace pada 5 Oktober lalu menyenaraikan 20 entiti korporat yang dikaitkan dengan penemuan kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia pada 2026, termasuk kumpulan perladangan Malaysia, Kuala Lumpur Kepong (KLK), menerusi kaitannya dengan entiti Indonesia, PT Menteng Jaya Sawit Perdana. Penemuan itu berdasarkan analisis data sumber jerebu bagi tempoh 8 Ogos hingga 1 Oktober 2026. >
Wan Saiful menegaskan, isu jerebu tidak boleh terus ditangani sekadar melalui kenyataan setiap kali pencemaran berlaku, sebaliknya memerlukan tindakan yang dapat memastikan pihak bertanggungjawab dipertanggungjawabkan.
“Jerebu bukan perayaan tahunan yang perlu kita terima sebagai perkara biasa!” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.