
KUALA LUMPUR | 10 Jan 26 – Mantan Ahli Majlis Tertinggi BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) memantau mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang akan datang sambil mempersoalkan sekiranya ada cubaan menyembunyikan surat PAS yang menerima perletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN.
“Saya tertanya-tanya adakah Muhyiddin sedang cuba menyembunyikan surat yang dihantar oleh PAS kepadanya?
“Saya dengar bahawa surat itu mengucapkan terima kasih atas jasa sebagai Pengerusi PN sebelum ini. Surat itu secara prinsipnya boleh difahami sebagai penerimaan oleh PAS akan perletakan jawatan Muhyiddin,” kata Wan Saiful.
Beliau menegaskan bahawa mesyuarat MT PN amat penting untuk masa depan pembangkang di Malaysia dan menekankan agar semua prosedur dipatuhi.
“Saya harap ROS akan perhatikan gerak geri Muhyiddin dan penjilatnya,” tambah beliau.
Wan Saiful turut menjelaskan bahawa hanya perletakan jawatan Pengerusi memerlukan pengesahan MT PN, namun perletakan jawatan lain seperti Azmin Ali (Setiausaha Agung) dan Radzi Jidin (Ketua Penerangan) tidak perlu pengesahan MT PN, menjadikan kedua-dua mereka sudah tidak boleh hadir mesyuarat PN yang akan datang.
Beliau turut membangkitkan isu kehadiran Muhyiddin sendiri, yang sudah mengumumkan mahu perletakan jawatannya bermula 1 Januari 2026, dan menekankan bahawa agenda pengesahan perletakan jawatan Pengerusi harus menjadi agenda pertama mesyuarat.
Wan Saiful juga menyarankan agar Timbalan Setiausaha Agung mengeluarkan notis panggilan mesyuarat tanpa perlu menjemput Azmin dan Radzi, dan bahawa Muhyiddin tidak sesuai mempengerusikan mesyuarat kerana agenda itu berkaitan dirinya.
Mesyuarat MT PN dijangka diadakan minggu depan dan turut menarik perhatian ramai berhubung pergolakan politik dalaman PN. Mesyuarat dijangka mengesahan peletakan jawatan Muhyiddin selaku Pengerusi PN dan seterusnya perbincangan mengenai pengganti beliau. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.