
KUALA LUMPUR | 13 Jan 26 – Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi, menghormati keputusan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang menerima pendirian Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Dalam kenyataan di media sosial facebook hari ini, Afnan berkata, keputusan itu mempermudahkan proses peralihan kepimpinan dalam PN, yang akan diputuskan kelak, sambil menekankan bahawa pendirian BERSATU untuk kekal sebagai rakan dalam PN juga tetap dihormati.
“Lagipun, bak kata seorang tokoh pujangga, hormat menghormati amalan mulia,” kata Afnan.
Beliau turut mengulas mengenai isu politik yang berlaku di Perlis, menyifatkan perbahasan mengenai sama ada ia perbuatan khianat atau sebaliknya sudah terlalu panjang dan tidak perlu dipanjangkan dalam medan terbuka.
“Itu semua bukti PAS telah ‘move-on’ walaupun luka masih ada. Usah lagi ditoreh dengan luka yang lain. Jangan ada lagi gunting dalam lipatan. Sekarang masa untuk alihkan senjata kepada musuh yang sebenar,” tegas Afnan.
Kenyataan ini dilihat sebagai seruan PAS untuk mengekalkan perpaduan dalam PN dan menumpukan perhatian kepada cabaran politik yang lebih besar di luar parti, selain mengelak perbalahan dalaman yang boleh melemahkan gabungan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.