
PARLIMEN | 21 Jan 26 — Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan meminta penjelasan lanjut daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) susulan kenyataan menteri berhubung pembinaan 19 buah rumah di Kampung Baru Cina pada tahun 2025.
Beliau mempersoalkan sama ada benar kesemua 19 buah rumah tersebut dibina oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan diberikan kepada penduduk setempat secara percuma tanpa sebarang bayaran, hasil peruntukan sebanyak RM1.5 juta daripada KPKT.
Beliau turut meminta penjelasan sama ada pada tahun 2026, sebanyak 20 lagi unit rumah akan dibina oleh SPNB dengan tujuan yang sama, iaitu untuk diberikan secara percuma kepada penduduk Kampung Baru Cina menggunakan peruntukan kewangan kementerian.
Wan Saiful berkata, jika dakwaan tersebut benar, ia menimbulkan persoalan sama ada Kabinet telah dirujuk dan meluluskan perubahan dasar penting, memandangkan sebelum ini semua rumah yang dibina oleh SPNB adalah berasaskan pinjaman yang perlu dibayar balik oleh penerima dalam tempoh panjang.
“Rakyat daripada golongan B40 lazimnya perlu membayar balik sekitar RM55,000 bagi setiap rumah SPNB. Maka timbul persoalan keadilan sekiranya wujud pendekatan berbeza dalam pemberian bantuan perumahan,” katanya.
“Tetapi kenapa ada layanan istimewa kepada penduduk Kampung Baru Cina, yang boleh membawa kepada menganaktirikan rakyat lain berbilang bangsa dari kalangan B40?, soalnya.
Wan Saiful turut menyatakan bahawa jika kerajaan berhasrat memperkenalkan dasar rumah percuma, keutamaan wajar diberikan kepada golongan yang benar-benar layak seperti veteran tentera yang pernah berkhidmat mempertahankan negara.
“Kalau nak bantu rakyat dengan rumah percuma, bagi saya golongan veteran tentera yang pernah berjuang menentang komunis dulu lebih layak diberikan bantuan. Katanya dalam satu kenyataan selepas Timbalan Speaker tidak membenarkan beliau mencelah ketika perbahasan di Dewan Rakyat, pagi ini.
Tambah Wan Saiful, penjelasan rasmi daripada KPKT amat penting bagi mengelakkan kekeliruan serta persepsi negatif rakyat terhadap dasar perumahan di bawah Kerajaan Madani. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.