Muhyiddin Bawa Cerita Bohong, Mesti Letak Jawatan Presiden BERSATU — Wan Saiful

KUALA LUMPUR | 29 Jan 26 — Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, menegaskan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin mesti meletakkan jawatan sebagai Presiden BERSATU sekiranya terbukti beliau berbohong berhubung isu pemansuhan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Menurut Wan Saiful, surat Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang menafikan dakwaan kononnya PAS dan BERSATU bersetuju memansuhkan jawatan tersebut, telah menimbulkan persoalan serius terhadap kenyataan Muhyiddin dalam surat bertarikh 27 Januari 2026.

“Penafian Presiden PAS itu amat signifikan. Ia membawa kepada persoalan sama ada Muhyiddin sudah terlalu terdesak sehingga sanggup mencipta cerita bohong untuk terus berpaut di takhta kuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Saiful turut mendakwa akan wujud usaha mempertahankan Muhyiddin secara membuta tuli, termasuk daripada kalangan penyokong setianya dalam parti.

“Saya yakin para penjilat Muhyiddin akan bekerja ‘overtime’ untuk mencipta pelbagai alasan bagi mempertahankan beliau. Tetapi persoalan sebenar bukan sekadar sama ada Muhyiddin berbohong, sebaliknya adakah mereka yang mempertahankannya juga berbohong,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya Muhyiddin berbohong kepada Presiden-presiden parti dalam PN, implikasinya amat besar kerana ia membuka persoalan terhadap kredibiliti keseluruhan kepimpinan tertinggi BERSATU.

Antara persoalan yang dibangkitkan ialah sama ada segala penjelasan Muhyiddin kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU boleh dipercayai, sama ada beliau turut berbohong kepada MPT, dan sama ada pembohongan itu akhirnya turut melibatkan rakyat.

“Tidakkah BERSATU malu mempunyai Presiden yang dituduh sebagai pembohong?” soalnya.

Dalam konteks tersebut, Wan Saiful menegaskan bahawa sekiranya Muhyiddin benar-benar menyayangi BERSATU, langkah paling bertanggungjawab ialah meletakkan jawatan sebagai Presiden demi menyelamatkan imej dan maruah parti.

“Jika tidak, Muhyiddin akan terus menjadi liabiliti kerana rakyat akan melihat Presiden BERSATU sebagai seorang pembohong,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan agar sebarang usaha menyelamatkan kedudukan Muhyiddin tidak dilakukan melalui jalan belakang.

“Jangan pula mansuhkan jawatan Presiden BERSATU semata-mata untuk melantik Muhyiddin sebagai Mursyidul Am,” tegasnya.

Semalam, Presiden PAS dalam satu surat menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Muhyiddin bahawa jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) telah dimansuhkan.

Dalam kenyataannya, Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa kenyataan yang menyebut:

“Dengan penstrukturan semula PN, jawatan Pengerusi Perikatan Nasional dimansuhkan dan pelantikan Pengerusi PN tidak lagi berbangkit” – tidak pernah dibincangkan atau dipersetujui oleh PAS, termasuk dalam mesyuarat yang telah berlangsung pada 16 Januari 2026. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share