
KUALA LUMPUR, 14 Ogos 25 — Ketua Sayap Armada Bersatu menafikan mereka hadir menyertai himpunan solidariti Jalur Gemilang di Kepala Batas, Pulau Pinang petang ini sebagai hero.
Sebaliknya, Ketua Armada Hilman Idham menegaskan kehadiran anggota Armada adalah untuk mendidik masyarakat kepentingan Jalur Gemilang sebagai panji-panji negara.
“Bukan untuk serang kedai peralatan tapi lebih kepada mendidik dan memartabatkan jalur gemilang,” kata Hilman dalam rakaman video TikTok
Adun Gombak Setia itu juga mengatakan beliau sedang dalam perjalanan ke himpunan solidariti Jalur Gemilang yang akan diadakan di Kepala Batas petang ini.
“Saya nak betulkan pandangan rakan rakan yang anggap kami pergi nak jadi hero jadi samseng nak menyerang kedai hardware tak betul.
“Kami pergi untuk menyatakan solidariti kepada Jalur Gemilang dan pada masa sama kami juga nak adakan pencerahan dan juga mendidik masyarakat tentang betapa pentingnya Jalur Gemilang ini sebagai panji-panji negara,” katanya.
Dalam rakaman itu Hilman turut melampirkan sejarah pembentukan bendera tersebut.
Terdahulu, sayap Armada Bersatu semalam mengumumkan akan menyertai kempen Pemuda Umno menentang perbuatan menghina Jalur Gemilang di Kepala Batas, Pulau Pinang, hari ini.
Walau bagimana pun, Polis Pulau Pinang menasihatkan orang ramai tidak menyertai perhimpunan di kawasan kedai perkakasan di Kepala Batas, yang sebelum ini tular di media sosial kerana mengibarkan Jalur Gemilang terbalik.
Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail, berkata ia bertujuan bagi menjamin keselamatan penduduk setempat dan ketenteraman awam. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.