
KUALA LUMPUR | 1 Feb 26 — Bekas pembantu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Yusoff Rawther, hari ini membuat bantahan keras terhadap strategi peguam yang dikaitkan dengan Anwar, yang didakwa sengaja untuk melengah-lembatkan proses mahkamah.
Dalam surat bantahan rasmi yang difailkan oleh peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali, Yusoff mendakwa Anwar berulang kali menukar pasukan peguamnya pada saat-saat akhir — taktik yang didakwa menjadi alat untuk meminta lanjutan masa dan menggagalkan jadual perbicaraan.
Kes ini berkaitan saman sivil yang difailkan oleh Yusoff, menuduh Anwar melakukan serangan seksual, dengan rayuan dijadualkan untuk didengar pada 4 Mac hadapan.
Menurut Rafique, terdapat kronologi jelas pertukaran peguam sejak 23 Mei 2025 hingga 30 Januari 2026, termasuk permintaan menukar guaman pada hari-hari terakhir sebelum tarikh akhir mahkamah ditetapkan — satu corak yang dianggap sebagai penyalahgunaan proses perundangan demi kelebihan strategik.
Rafique berhujah bahawa alasan bahawa peguam baru “memerlukan masa untuk menyesuaikan diri” tidak boleh diterima, kerana penukaran yang berterusan itu dipercayai hanya membazirkan masa dan merugikan pihak pendakwa.
Perubahan berulang kali termasuk pertukaran antara firma besar dan firma lain dalam tempoh singkat memberi impak besar terhadap jadual mahkamah dan prosiding dimana dakwaan Yusuff kini menjadi antara isu paling dibincangkan dalam arena politik dan perundangan negara. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.