
KUALA LUMPUR, 28 Sep 25 – Sayap Pemuda Umno menolak jemputan Pemuda PAS agar turut serta dalam himpunan membantah Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) pada 4 Okt depan.
Sayap Pemuda Umno sebaliknya menjemput PAS untuk bersama-sama menyertai Konvensyen Melayu Bandar yang akan menyentuh mengenai isu RUU PSB di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, pada 3 Okt depan.
Exco Pemuda Umno, Aliff Hilmi berkata, jemputan itu bagi memastikan suara sayap kedua-dua parti itu lebih kuat dan usaha menolak perkara yang merugikan rakyat dapat dilakukan secara bersepadu dengan pendekatan yang lebih bermaruah dan berkesan.
“Pemuda Umno sentiasa konsisten memperjuangkan suara rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah di bandar tetapi perjuangan ini mestilah berasaskan fakta, perbincangan ilmiah dan cadangan yang membuahkan hasil.
“Bagi kami Pemuda Umno, penyelesaian lebih penting daripada retorik.
“Rakyat tidak boleh terus dijadikan bahan mainan politik tanpa sebarang hala tuju jelas,” katanya dalam kenyataan semalam.
Pemuda PAS sebelum ini menjemput Umno untuk bersama-sama menyertai himpunan tersebut.
Pemuda umno bagaimanapun menolak jemputan itu sebaliknya menggesa semua pihak duduk berbincang dan mencari penyelesaian terbaik berhubung RUU PSB sebelum mengambil tindakan berhimpun sebagai bantahan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.