
KUALA LUMPUR | 4 Feb 26 – Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (MP-PN) menegaskan cadangan Pilihan Raya Datuk Bandar yang dikemukakan Menteri Wilayah Persekutuan, YB Hannah Yeoh, berpotensi melemahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), menimbulkan konflik kuasa, dan tidak menjamin peningkatan kecekapan pentadbiran.
Menurut kenyataan media oleh Ketua Whip Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, langkah kementerian yang melihat pilihan raya sebagai alat utama memperkukuh keberkesanan DBKL adalah terlalu simplistik dan salah arah.
“Kecekapan pentadbiran sesebuah bandar raya tidak bergantung kepada cara kepimpinannya ditentukan, tetapi berdiri atas kekuatan institusi, sistem governans dan budaya pengurusannya,” jelas kenyataan itu.
MP-PN juga menegaskan cadangan tersebut menimbulkan isu perundangan dan perlembagaan serius, kerana Kuala Lumpur adalah Wilayah Persekutuan di bawah Perkara 95D Perlembagaan Persekutuan dan pentadbirannya diatur oleh Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
Tanpa pindaan undang-undang yang jelas mengenai skop kuasa, belanjawan, dan akauntibiliti, pengenalan Pilihan Raya Datuk Bandar berisiko menimbulkan kekeliruan institusi, pertindihan bidang kuasa, dan potensi konflik politik.
Kenyataan itu turut menekankan bahawa sistem Pilihan Raya Datuk Bandar boleh mendorong pempolitikan pentadbiran, populisme elektoral, dan ketidakstabilan dasar yang dipacu oleh kitaran pilihan raya, bukannya dasar perancangan bandar jangka panjang.
Kenyataan tersebut menyeru kementerian supaya menumpukan fokus kajian kepada reformasi institusi, pentadbiran, dan undang-undang yang komprehensif, bagi memperkukuh kecekapan, profesionalisme, dan akauntibiliti DBKL, bukannya meneruskan cadangan yang berpotensi mencetuskan eksperimen politik berbahaya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.