Gerakan Tekan Radzi Jidin Letak Jawatan Pengerusi PN Wilayah Persekutuan, Gagal

KUALA LUMPUR | 7 Feb 26 – Sumber dalaman BERSATU mendakwa wujud usaha terancang untuk menekan Datuk Dr. Radzi Jidin supaya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, susulan percaturan politik dalaman yang semakin meruncing dalam gabungan itu.

Menurutnya, tekanan berkenaan bukan sahaja berbentuk politik, malah disertai serangan peribadi termasuk tuduhan sebagai “pengkhianat”, tidak menghormati Presiden parti, serta dakwaan kononnya Radzi “bermain dua kolam”.

“Hakikatnya, pendirian Radzi adalah berkecuali dan berprinsip. Ia telah dipersetujui oleh 11 daripada 13 Ketua Bahagian BERSATU Wilayah Persekutuan. Beliau memilih jalan perdamaian demi menjaga kestabilan parti, bukan untuk kepentingan mana-mana kem,” kata sumber itu.

Tambah sumber dari BERSATU Wilayah, tuduhan-tuduhan tersebut sengaja digerakkan bagi melemahkan kedudukan Radzi kerana beliau enggan tunduk kepada tekanan kumpulan tertentu yang mahu menguasai hala tuju kepimpinan PN.

Desakan supaya Radzi berundur, bukan isu terpencil di Wilayah Persekutuan, sebaliknya sebahagian daripada strategi lebih besar untuk mencipta tekanan politik terhadap PAS dalam proses pemilihan Pengerusi PN yang baharu.

Bagaimanapun, percubaan tersebut dipercayai gagal apabila sokongan akar umbi BERSATU di Wilayah Persekutuan kekal kukuh di belakang Radzi. Difahamkan, majoriti Ketua Bahagian secara terbuka menyatakan sokongan agar beliau terus memegang jawatan Pengerusi PN Wilayah Persekutuan.

“Sudah tiba masanya Radzi membuat ketetapan dan berani bersuara. Beliau adalah aset penting kepada parti dan negara, dan tidak seharusnya menjadi mangsa tekanan serta herdikan kumpulan tertentu yang hanya mementingkan percaturan kuasa,” ujar sumber itu lagi.

Sumber ini turut mendedahkan bahawa tekanan seumpama ini dipercayai turut dikenakan terhadap Mas Ermieyati Samsudin, Ahli Parlimen Masjid Tanah yang juga Pengerusi PN Melaka, dengan corak serangan yang hampir serupa.

Dalam masa sama, sumber tersebut menegaskan bahawa nasihat agar Tan Sri Muhyiddin Yassin berehat daripada kepimpinan tertinggi PN bukan didorong oleh ketiadaan kesetiaan, sebaliknya berpunca daripada keperluan memberi ruang kepada kepimpinan baharu demi kelangsungan parti.

“Ini soal mengelakkan mudarat yang lebih besar. Jika konflik dalaman ini tidak ditangani dengan bijaksana, kesannya boleh membawa risiko besar kepada masa depan BERSATU dan PN,” kata sumber kepada politiko.

Untuk rekod, Muhyiddin pada Januari lalu mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN, diikuti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta beberapa pemimpin lain, sekali gus mencetuskan fasa baharu perebutan pengaruh dalam kepimpinan gabungan berkenaan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share