
KUALA LUMPUR | 7 Feb 26 – Pengambilalihan IJM Corporation Berhad oleh Sunway Berhad mencetuskan kebimbangan apabila sebahagian besar transaksi dilaporkan dibuat melalui pertukaran saham, bukan tunai.
Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM), Dr Armin Baniaz Pahamin menyifatkan urus niaga itu bukan sekadar transaksi korporat biasa, sebaliknya melibatkan isu pemilikan, kawalan dan kepentingan ekonomi jangka panjang negara.
“Pengambilalihan IJM menyentuh persoalan asas, iaitu siapa yang akan menguasai aset strategik negara, siapa yang dipindahkan untuk menanggung risiko sebenar transaksi, dan siapa yang akhirnya kehilangan pegangan serta kuasa ekonomi secara senyap. Katanya.
Beliau menegaskan IJM mengendalikan aset infrastruktur kritikal seperti lebuh raya bertol dan pelabuhan laut dalam yang memberi kesan langsung kepada mobiliti rakyat, kos logistik dan keselamatan ekonomi.
Justeru, sebarang perubahan kawalan ke atas aset ini perlu dinilai dari sudut kepentingan awam, bukan keuntungan semata-mata.
Pengambilalihan itu juga dikhuatiri membawa kepada penumpuan kuasa ekonomi di tangan segelintir taikun sektor swasta, memandangkan struktur pemilikan Sunway yang dikuasai pemegang saham majoriti. Keadaan ini boleh memberi pengaruh besar terhadap hala tuju strategik aset infrastruktur negara.
Isu ekuiti Bumiputera turut dibangkitkan apabila pegangan melalui dana awam berisiko berubah daripada kedudukan strategik kepada pegangan pasif dalam sebuah konglomerat besar. Menurut Dr Armin, keadaan ini boleh menyebabkan penghakisan kuasa ekonomi Bumiputera secara sah tetapi senyap.
“Ekuiti Bumiputera bukan sekadar angka pemilikan saham, tetapi kedudukan strategik, leverage ekonomi dan pengaruh dalam keputusan jangka panjang. Katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan campur tangan untuk menilai dan menghentikan transaksi tersebut demi melindungi kepentingan awam dan kedaulatan ekonomi negara, sambil memberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian boleh mewujudkan preseden berbahaya pada masa depan.
“Ini bukan campur tangan politik, tetapi tanggungjawab tadbir urus. Pasaran bebas tidak bermaksud pasaran tanpa tanggungjawab sosial.
Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang menyiasat cadangan pengambilalihan sukarela bersyarat ke atas IJM Corp oleh Sunway Bhd, menurut MBSB Research.
Lanjutan itu, SPRM telah menahan Pengerusi Syarikat IJM Corporation Berhad berhubung kes berkaitan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.