
KUALA LUMPUR, 19 Jun 25 – Peguam Rafique Rashid Ali mendakwa laporan polis dibuat pertubuhan Nadi Gemilang Amal terhadap Yusoff Rawther adalah anggota exco Pemuda PKR yang menyamar sebagai NGO.
Peguam kepada Yusoff itu berkata, walaupun sesiapa sahaja berhak membuat laporan polis, tuduhan NGO tersebut adalah kosong dan tidak berasas.
“Diharap ahli-ahli AMK yang menyamar jadi NGO usah main politik. Rakyat sudah meluat.
“Isu Mossad, isu Yusoff konon sokong Israel adalah dari laporan 2017, kenapa (Perdana Menteri Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) ambil dia bekerja pada 2018 kalau betul Yusoff (anggota) Mossad?,” kata Rafique, kepada politiko.my.
Sedangkan katanya, AMK berdiam diri ketika Anwar mengeluarkan kenyataan Israel berhak wujud dan mempertahankan dirinya ketika wawancara stesen penyiaran CNN.
NGO itu membuat laporan polis menggesa dakwaan yang mengatakan Yusoff mungkin merupakan proksi atau ejen untuk Mossad susulan kenyataan dia menyokong kewujudan Israel, serta menolak tuntutan ke atas Baitulmaqdis.
NGO terbabit berkata kenyataan Yusoff itu masih boleh diakses di portal berita antarabangsa Israel dan menimbulkan kebimbangan serius tentang kemungkinan campur tangan asing di negara ini.
Jurucakap yang mengetuai NGO Nadi Gemilang Amal berkenaan dikenali sebagai Dzul Hilmi Zainol merupakan exco AMK PKR, kata Rafique lagi.
Justeru kata Rafique, Dzul Hilmi tidak wajar “menyamar” untuk mengelirukan orang ramai. @politiko.my